Analisis Politik Sabah: Dinamika, Cabaran, dan Masa Depan Menjelang Pilihan Raya Negeri
Sejarah Pilihan Raya Negeri Sabah
- Evolusi Politik Sabah Sejak Merdeka
Sejak penyertaan Sabah dalam Malaysia pada tahun 1963, pelbagai parti politik telah ditubuhkan dan memainkan peranan penting dalam landskap politik negeri. Berikut adalah senarai beberapa parti politik utama yang pernah wujud di Sabah sejak 1963:
-
United Sabah National Organisation (USNO): Ditubuhkan pada tahun 1961, USNO merupakan antara parti terawal di Sabah dan memainkan peranan penting dalam membawa Sabah ke dalam Malaysia.
-
Parti Pasok Momogun (PPM): Ditubuhkan pada tahun 1962, parti ini mewakili kepentingan etnik Kadazan-Dusun.
-
Sabah Chinese Association (SCA): Parti yang mewakili komuniti Cina di Sabah pada era 1960-an.
-
United Pasokmomogun Kadazan Organisation (UPKO): Ditubuhkan pada tahun 1964, UPKO adalah gabungan antara PPM dan beberapa parti lain untuk mewakili masyarakat Kadazan-Dusun.
-
Parti Berjaya (BERJAYA): Ditubuhkan pada tahun 1977, BERJAYA mengambil alih pemerintahan negeri daripada USNO pada tahun 1976.
-
Parti Bersatu Sabah (PBS): Ditubuhkan pada tahun 1985, PBS memerintah Sabah selepas memenangi pilihan raya negeri pada tahun yang sama.
-
United Malays National Organisation (UMNO): UMNO mula melebarkan sayapnya ke Sabah pada tahun 1991 dan menjadi parti dominan dalam politik negeri untuk beberapa dekad.
-
Parti Warisan Sabah (WARISAN): Ditubuhkan pada tahun 2016, WARISAN menjadi parti utama yang memerintah Sabah selepas pilihan raya negeri 2018.
-
Gabungan Rakyat Sabah (GRS): Ditubuhkan pada tahun 2020, GRS adalah gabungan beberapa parti tempatan yang kini memerintah Sabah.
-
Parti Solidariti Tanah Airku (STAR): Parti tempatan yang memainkan peranan dalam politik Sabah sejak penubuhannya.
-
Parti Maju Sabah (SAPP): Ditubuhkan pada tahun 1994, SAPP adalah parti politik tempatan yang pernah menjadi komponen Barisan Nasional sebelum keluar pada tahun 2008.
-
Parti Liberal Demokratik (LDP): Ditubuhkan pada tahun 1989, LDP adalah parti politik yang berasaskan komuniti Cina di Sabah.
-
Parti Cinta Sabah (PCS): Parti tempatan yang ditubuhkan untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah.
-
Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS): Parti tempatan yang turut serta dalam gabungan GRS.
-
Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM): Parti politik tempatan yang ditubuhkan untuk mewakili kepentingan masyarakat Kadazan-Dusun-Murut.
-
Parti Bangsa Malaysia (PBM): Parti politik yang turut mempunyai cawangan di Sabah dan terlibat dalam politik negeri.
-
Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS): Parti tempatan yang ditubuhkan untuk memperjuangkan perpaduan dan hak rakyat Sabah.
Parti Impian Rakyat Sabah: Parti tempatan yang mempunyai misi perjuangan untuk memperjuangkan hak dan perpaduan rakyat sabah.
- Kejatuhan dan Kebangkitan Parti Politik
Setiap PRN Sabah sering menyaksikan peralihan kuasa yang dramatik. Contohnya, PRN 1994 menyaksikan kejatuhan PBS walaupun mereka menang majoriti kerusi, manakala PRN 2020 memperlihatkan kebangkitan GRS selepas pertarungan sengit dengan Warisan.
- Isu Semasa & Kebimbangan Rakyat
Hak Autonomi dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)
Isu MA63 kekal sebagai perdebatan utama, dengan rakyat Sabah menuntut lebih banyak hak autonomi dalam pentadbiran serta hasil negeri. Keputusan kerajaan persekutuan dalam pelaksanaan MA63 akan menjadi faktor utama dalam menentukan kecenderungan pengundi.
Ekonomi dan Kos Sara Hidup
Sabah masih berada dalam kategori negeri termiskin di Malaysia, selain dengan kadar pengangguran yang tinggi. Pada tahun terkini, Sabah mencatatkan kadar pengangguran tertinggi di Malaysia dengan seramai 169,800 orang atau meliputi 29 peratus daripada 588,700 jumlah penganggur di seluruh negara. Isu seperti harga barangan, peluang pekerjaan, dan pembangunan luar bandar adalah antara faktor utama yang membentuk persepsi rakyat terhadap kerajaan sedia ada.
Infrastruktur dan Kemudahan Asas
Rakyat Sabah masih berdepan dengan masalah asas seperti jalan raya yang teruk, bekalan air bersih yang tidak pernah selesai, serta isu elektrik yang tidak stabil terutama di kawasan pedalaman.
Kerajaan negeri Sabah, melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), telah memperuntukkan RM300.25 juta untuk melaksanakan 20 projek keutamaan sebagai langkah penyelesaian jangka pendek bagi mengatasi isu bekalan air di negeri ini. Projek-projek tersebut merangkumi penggantian pam air dan alat jana kuasa di loji-loji rawatan air serta peningkatan kapasiti bagi muka sauk dan loji rawatan air. Pelaksanaan projek-projek ini dijangka dapat mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) daripada 59.57% kepada 53% dalam tempoh 24 bulan. Diharapkan ianya menjadi penyelesai jangka pendek sementara mengharapkan penyelesaian jangka panjang. Namun, laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2024 Siri 2 menyatakan bahawa Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sabah masih belum mencapai objektif yang ditetapkan, menyebabkan penduduk luar bandar terus berdepan dengan gangguan bekalan air. Pembangunan infrastruktur yang lebih mampan menjadi tuntutan utama rakyat menjelang PRN.
Di samping itu, kerajaan Sabah dan Persekutuan menyasarkan untuk membekalkan elektrik ke seluruh kawasan luar bandar Sabah menjelang 2035 melalui Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang bertujuan mencapai 99.99% liputan bekalan elektrik di kawasan tersebut. Kerajaan negeri Sabah juga membuka peluang kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk meneroka Tenaga Boleh Diperbaharui di Sabah. Peluang ini diharap dapat membantu sedikit sebanyak dalam penyelesaian bekalan elektrik yang tidak stabil ini.
Parti dan Pemain Politik Utama
Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini terdiri daripada lapan parti komponen berikut:
- Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS)
- Parti Bersatu Sabah (PBS)
- Parti Solidariti Tanah Airku (STAR)
- Parti Maju Sabah (SAPP)
- Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO)
- Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS)
- Parti Liberal Demokratik (LDP)
- Parti Cinta Sabah (PCS)
Perubahan ini berlaku selepas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah, termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, meninggalkan parti tersebut dan menubuhkan PGRS. Hajiji Noor kini mengetuai GRS sebagai Pengerusi dan juga Ketua Menteri Sabah. Selain itu, LDP dan PHRS telah diterima sebagai parti komponen GRS pada April 2023. Prestasi GRS dalam penggal ini akan menentukan sejauh mana rakyat masih memberikan sokongan.
Parti Warisan
Warisan, di bawah pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal, masih merupakan antara kuasa besar dalam politik Sabah. Mereka berusaha untuk mendapatkan kembali tampuk kepimpinan dengan membawa isu hak Sabah sebagai agenda utama. Malahan mereka juga mahukan Gabungan Parti Tempatan yang akan menerajui kerajaan nanti.
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)
PH dan BN turut memainkan peranan dalam PRN Sabah, walaupun sokongan mereka tidak sekuat parti tempatan. Kerjasama mereka dengan parti-parti lain akan menjadi faktor penentu dalam pembentukan kerajaan baru.
Ramalan & Analisis PRN Akan Datang
Faktor Penentu Kemenangan
Beberapa faktor penting yang akan mempengaruhi keputusan PRN termasuklah prestasi kerajaan negeri semasa, isu nasional yang memberi kesan kepada rakyat Sabah, serta kekuatan jentera kempen parti.
Peranan Undi Belia dan Pengundi Atas Pagar
Undi belia semakin penting dengan pelaksanaan Undi18. Pengundi atas pagar juga akan menjadi kumpulan penentu dalam memastikan kemenangan mana-mana pihak. Secara jujurnya saya perhatikan, Warisan banyak memberi tumpuan kepada golongan ini.
Pandangan Rakyat & Media Sosial
Suara Rakyat di Media Sosial
Perbincangan di platform seperti Facebook dan TikTok memainkan peranan besar dalam membentuk pendapat umum. Kempen politik kini banyak bergantung kepada media sosial untuk menyebarkan maklumat serta menarik sokongan pengundi. Penilaian saya sehingga kini, Warisan masih mempunyai kekuatan dalam menggunakan kelebihan media sosial.
Bagaimana Media Sosial Mempengaruhi Sentimen Pengundi
Dengan trend digital yang semakin berkembang, perang propaganda politik kini beralih ke platform dalam talian. Persepsi pengundi boleh berubah dengan cepat berdasarkan isu yang tular dan cara pemimpin menangani isu tersebut.
PRN Sabah yang akan datang dijangka menjadi salah satu pilihan raya paling sengit dalam sejarah negeri. Dengan pelbagai isu yang masih membelenggu rakyat serta pertarungan antara parti politik utama, keputusan PRN ini bakal memberi kesan besar kepada masa depan Sabah. Kepekaan rakyat dalam memilih pemimpin yang mampu membawa perubahan sebenar akan menjadi faktor utama dalam menentukan hala tuju negeri ini.