Khamis, 11 Jun 2009

MASYARAKAT IRANUN: KEPERCAYAAN TERHADAP MAKHLUK HANTU.....

Perkataan "Hantu" sentiasa mendatangkan ketakutan dan rasa seram ke dalam diri kebanyakkan kita. Sekadar menceritakan mengenai hal itu saja, sudah memadai untuk menusuk debar yang tidak berkesudahan. Tatkala membayangkan rupa makhluk halus itu yang dalam keadaan mengerikan, ia cukup untuk membekaskan trauma perpanjangan. Hantu sering dibayangkan sebagai makhluk yang amat mengerikan, dengan wajah hodoh menakutkan, darah merah sentiasa menitis daripada jasad makhluk itu selain hilaian tawa yang meremangkan bulu roma. Hantu juga dianggap sesuatu yang ”Tabu” dalam masyarakat. Lantaran kehadiran mereka tidak dapat dilihat, hantu sentiasa mencetuskan rasa cemas tatkala diri berseorangan lebih-lebih lagi pada malam dan di tempat yang terasing.

Hantu menjadi Entiti Paranormal misteri yang sejarah kewujudanya terlalu lama untuk dikira. Misteri kewujudan hantu sudah bermula sejak zaman prasejarah lagi menerusi kepercayaan Animisme dan melanda seluruh pelosok dunia yang melewati sempadan benua dan budaya. Penduduk pada zaman purba mempercayai bahawa wujudnya suatu kuasa ghaib yang mampu mempengaruhi hidup mereka. Bermula daripada pegangan Animisme itu, jiwa manusia sehinggalah zaman moden pada hari ini. Sesuatu ironi mengenai hantu adalah gambaran fizikal makhluk halus itu didapati berbeza mengikut budaya sesuatu masyarakat.

Dalam budaya Kaum Iranun misalnya, terdapat pelbagai nama hantu antaranya, Bal-Bal, Manga-ngalek, Kalimbadut, Kangkang Laut, Antu Bangkit dan banyak lagi. Bal-Bal digambarkan sebagai manusia berupa makhluk yang kuat dan suka memakan pantat (Dubur) manusia seperti yang cuba diperlihat melalui filem “Balan-Balan”. Manga-ngalek pula dikatakan hanya bertindak sekadar menakut-nakutkan seseorang untuk melihat keberanian seseorang itu, manakala Kalimbadut turut digambarkan sebagai makhluk berambut panjang, melayang-layang diudara serta memiliki hilaian tawa yang meremangkan bulu roma. Kalimbadut ini hampir sama dengan Pontianak Cuma perbezaanya Pontianak mempunyai jantina yakni wanita, berwajah putih memucat manakala Kalimbadut hanya bergerak dengan menggunakan kepala yang tercabut dari tubuhnya.

Masyarkat Kaum Iranun amat mempercayai akan kewujudan Makhluk Bal-Bal ini sehingga menjadi bahan bualan apabila berlakunya sesuatu kematian. Salah satu penyebab kenapa masyarakat kaum Iranun masih mengamalkan budaya “ Tung guh Sa Tampat” sehingga sekarang adalah kerana kepercayaan kepada Makhluk Bal-Bal ini masih menebal. Makhluk Bal-Bal ini dipercayai mempunyai kekuatan yang luar biasa dan salah satunya, makhluk ini dipercayai mempunyai kebolehan mengetahui sesuatu kematian walaupun jarak antara makhluk Bal-Bal ini dengan jenazah tersebut amat jauh. Namun kenyataan ini mungkin disebabkan , masyarakat kaum Iranun mempunyai satu amalan ataupun kebiasaan ketika menghebahkan sesuatu kematian iaitu dengan menggunakan “balu” (paluan Gong). Tidak mustahil makhluk Bal-Bal ini mendapat maklumat melalui “balu” tersebut dan pada masa yang sama masyarakat Kaum Iranun menggangap bahawa ia merupakan satu kelebihan makhluk tersebut. Satu lagi senario yang boleh kita lihat dalam masyarakat kaum Iranun adalah, apabila anak-anak kecil mereka bermain ataupun pergi ketempat-tempat gelap atau berbahaya, ibubapa atau penjaga pasti akan mengatakan ” Nah..Bal-Bal, awa ka sa'an”. Menurut kajian yang di jalankan oleh penulis secara tidak formal, masalah ini sebenarnya disebabkan ibubapa atau penjaga tidak dapat mengawal tingkah laku anak-anak mereka ataupun secara bahasa lainnya ”Malas” untuk berdiri atau mendapatkan anak-anak kecil mereka agar tidak lari dari pandangan mereka. Hakikatnya kebiasaan dan sikap sedemikian akhirnya telah menyebabkan belia masyarakat kaum Iranun itu “takut akan bayang-bayang sendiri”.

Dalam Budaya Melayu pula, selain Pontianak terdapat hantu lain seperti Pocong yang digambarkan seumpama jenazah yang berbungkus kain kapan, Toyol yang dikatakan bersaiz bayi. Selain itu, dalam masyarakat Cina pula menggambarkan hantu sebagai mayat pucat yang menganggu manusia, malah kadang-kadang dikatakan bergerak dengan meloncat-loncat. Kebanyakan hantu yang digambarkan di Barat pula, kelihatan seperti mayat pucat dengan wajah mengerikan tetapi jasad mereka wujud sebagai bayangan dan tidak pejal seperti manusia.

Di barat, kajian sains terhadap fizikal hantu bagaimanapun tidak menjumpai jelmaan fizikal hantu seperti yang digembar-gemburkan sebaliknya makhluk halus itu hanya berjaya dikesan sebagai bentuk cahaya atau bayang yang berterbangan. Hantu yang berjaya dirakamkan pengkaji paranormal ini dikelaskan kepada beberapa bentuk, antaranya Ektoplasma: berbentuk kabus,asap atau wap; Vorteks: berbentuk garisan cahaya yang berterbangan; Orbs: berbentuk cahaya bulat yang berterbangan; Cahaya: berkelip dalam warna kuning kemerahan, putih atau biru dan dengung; dan lembaga Bayangan Hitam: berbentuk bayang.

Manakala kewujudan Jin dan Syaitan, dapat dibuktikan melalui Firman Allah S.W.T didalam Kitab Suci Al-Quran “ Dan AKU tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-KU”. ( Surah Adz-Dzaariyaat, ayat ke 56).

Kajian penyelidik dan kalangan ulama mendapati seperti juga manusia, golongan jin juga terbahagi kepada mereka yang beriman dan kafir. Jin kafir digelar syaitan dan ketua syaitan adalah Iblis Laknatullah. Ibilis dikatakan sudah lama wujud malah lebih awal daripada manusia pertama di dunia ini iaitu Nabi Adam a.s. Pada mulanya, iblis begitu taat kepada Allah S.W.T. tetapi sebaik Nabi Adam a.s diciptakan, ia menderhaka kepada Tuhan. Seterusnya iblis berjanji bahawa ia dan keturunanya (syaitan) akan terus menyesatkan manusia daripada terus taat kepada perintah Allah S.W.T. sehingga ke hari kiamaat. Firman Allah S.W.T: “ Kerana-MU (Allah) menghukum saya (Iblis) tersesat, saya benar-benar akan (menghalangi) mereka(manusia) dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan belakang mereka kanan dan kiri mereka. Dan engkau tidak mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)”. (Al- A’raf: 16-17).

Selaku makhluk alam ghaib, jin boleh menjelma menyerupai bentuk tertentu termasuklah hantu selain ular dan juga anjing hitam. Akan tetapi, seperti juga manusia, mereka perlu mempelajari kaedah untuk membolehkan mereka menjelma. Terdapat pendapat bahawa jin yang menjelma sebagai ular atau anjing hitam akan mati sekiranya haiwan jelamaan itu dibunuh. Hal ini berdasarkan perintah Nabi s.a.w agar membunuh anjing hitam. Jin yang kuat serta memiliki ilmu yang tinggi mampu mendatangkan kecederaan kepada manusia dengan IZIN Allah S.W.T, tetapi manusia yang beriman dan kuat beribadat akan memiliki “Benteng” bagi menghalang tindakan makhluk halus tersebut.
Kalangan Ulama bagaimanapun, berselisih pendapat mengenai cirri-ciri Jin. Ada antara mereka berpendapat bahwa tidak semua jin memiliki satu ciri kehidupan yang sama. Ada antara makhluk halus itu yang dikatakan boleh terbang manakala sebahagian lain sekadar berjalan dan merayap seperti ular. Jin juga berkahwin dan hidup berkeluarga, sama seperti manusia. Ada juga pendapat yang mengatakan jin menggangu manusia kerana manusia memusnahkan habitat mereka. Mengikut teori, sebelum turunnya Nabi Adam dan isterinya Hawa di dunia ini, jin terlebih dahulu mendiami dunia dalam keadaan yang asal iaitu dipenuhi hutan tebal dan alam semula jadi yang tidak terusik. Bagaimanapun, apabila manusia hidup dan mula mencapai ketamadunan, hutan dan alam semulajadi yang menjadi habitat jin itu juga dimusnahkan sedikit demi sedikit untuk membina kota. Disebabkan itulah, apabila sesuatu jin berjaya ditangkap dalam perubatan Islam, makhluk itu akan dibuang ke hutan, sungai atau laut.

Satu kelebihan yang dikurniakan Allah S.W.T kepada golongan jin adalah mereka dapat melihat manusia tetapi manusia tidak dapat melihat mereka. Justeru itu, bagaimana pula keadaannya dengan sesetengah manusia yang mendakwa bahawa mereka terlihat HANTU atau BAL BAL???.

Sebenarnya, bagi manusia , terdapat beberapa keadaan yang membolehkan mereka melihat jin atau Hantu. Antaranya, jin terbabit menjelmakan diri mereka untuk dilihat manusia, manusia terbabit mempelajari ilmu untuk mendampingi dan bersahabat dengan Jin, hijab pandangan manusia itu dibuka oleh Allah S.W.T selain mereka yang sakit....

3 comments:

DEPU-DEPU 15 Jun 2009 3:06 PG  

kepercayaan ini begitu menebal dalam masyarakat Iranun sedangkan Iranun terkenal dengan pengetahuan agama mereka.Kepercayaan tahyul dan khurafat yg perlu dihapuskan...

mrakunman 15 Jun 2009 8:19 PG  

sayang semasa kecil jarang terdengar istilah-istilah itu. Mungkin sebab itu, se masa darjah 3, berani meredah pantai mencari paikan. Biasa terdengar di kg bahawa itu ini ada, mungkin kerana terlatih awal, maka istilah2 ini tidak berkesan.

SI RENGIT 18 Jun 2009 8:12 PTG  

TAHNIAH SAUDARA SI RENGIT,
TERUSKAN PENULISAN SAUDARA INI SEMOGA MANA YANG BAIK KITA JADIKAN TAULADAN DAN BURUK ITU JADIKAN SEMPADAN... SYABAS SAUDARA...

Catat Ulasan

pesanan

Penafian:Penulis blog paikankb tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan, Segala komen atau ulasan, fakta berunsur hasutan yang dialami kerana melayari atau menggunakan maklumat dalam blog ini.

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP