Sabtu, 23 Oktober 2010

KUASA MILIK SIAPA......?




Seorang pemerintah negara china di zaman dahulu telah merasakan bahawa kekuatan angkatan tenteranya agak lemah,kebetulan ancaman musuh semakin dekat. Raja ini mempunyai gundik seramai 20 orang dan Raja tersebut berpendapat gundik-gundiknya perlu sama-sama berjuang mempertahankan negara apatah lagi mereka ini terlalu hampir dengannya. Sekurang-kurangnya mereka bukan sahaja bertindak sebagai penghibur tetapi juga perisik yang memiliki kecekapan membela diri dan mahir dalam selok-belok ketenteraan.



Tanpa melengahkan masa lagi, Raja tersebut mengadakan mesyuarat dengan para pembesarnya dan mereka pun mencapai keputusan menyokong penuh hasrat Raja itu. Mendengar rancangan tersebut, para gundik tertawa kelucuan. Namun atas arahan Raja mereka terpaksa mematuhinya. Hari pertama latihan, para gundik tertawa-tawa dan jurulatih yang dilantik tidak dapat berbuat apa-apa kerana para gundik mempunyai kedudukan yang lagi tinggi berbanding jurulatih tersebut. Melihat situasi itu raja terpaksa berfikir cara terbaik melatih para gundiknya ini, atas nasihat penasihatnya beliau diminta agar mencari jurulatih yang lebih baik dan ditakuti oleh para gundiknya. Setelah mencari siapa yang layak, akhirnya raja tersebut bertemu dengan seorang pemuda yang bernama Sun Tzu.



Selepas Raja menjelaskan hasratnya, Sun Tzu pun menyatakan seanggupannya tetapi bersyarat. Dai mahu diberikan kuasa penuh iaitu hak dan kuasa penuh bagi apa sahaja dalam menjayakan harapan raja. Seelah berfikir agak lama, raja tersebut pun bersetuju,Sun Tzu diberikan hak dan kuasa penuh dalam melatih para gundik tersebut.



Hari pertama latihan, para gundik raja berperangai seperti dahulu. Selain tertawa mereka juga dilihat sentiasa bermain.main dalam latihan. Melihat hal itu, Sun Tzu mula mencari siapakah ketua dan menjadi penghasut dalam kumpulan gundik tersebut. Akhirnya Sun Tzu mendapati seorang gundik yang muda dan tercantik dalam kumpulan para gundik tiu yang bertindak sebagai”Master Mind”. Maklumat yang Sun Tzu perolehi, gundik tersebut merupakan gundik kesayangan raja.



Pada suatu masa, semasa dalam latihan yang turut disaksikan oleh raja, gundik kesayangan raja tersebut semakin mengada-ada. Sun Tzu memberi peringatan dan teguran kepadanya tetapi gundik tersebut buat tidak tahu sahaja.Tanpa berlengah lagi, Sun Tzu pun mengambil satu tindakan yang tidak diduga oleh dek akal fikiran iaitu terus memancung kepala Gundik tersebut. Tindakan beliau itu membuatkan raja dan para gundik yang lain terkejut. Namun menyedari kuasa penuh sudah diberikan kepada Sun Tzu, akhirnya Raja berlalu begitu sahaja manakala para gundik yang lain menjadi takut. Akhirnya 19 orang gundik tersebut mula berlatih bersungguh-sungguh sehingga tercapai visi dan misi yang raja mahukan. ***



Sebenarnya kuasa yang diberikan kepada seseorang itu merupakan tanggungjawab penuh dan perlu dilaksanakan dengan baik sekaligus menjadi satu tuntutan kepada orang lain. Kuasa bukannya untuk orang yang suka menindas orang lain, menjadi kaki pembohong, kaki pembelit, kaki sombong, kaki penindas, kaki tamak haloba dan yang pasti kuasa itu bukan untuk diwarisi kepada dinasti keluarganya yang juga bersikap rakus. Hanya pemimpin yang sedar akan tanggungjawab dan siapa dirinya sahaja yang berhak mendapat kuasa (diberikan oleh rakyat) dan yang paling penting pemimpin itu sentiasa menerima kritikan dan pandangan orang lain yang boleh membina demi kesejahteraan semua.



Kekuasan sebenarnya mencerminkan kepercayaan yang diberikan seseorang kepada orang lain bagi melakukan sesuatu yang sudah disepakati bersama. Kekuasaan juga merupakan cermin perangai sebenar seseorang semasa individu itu menjalankan kekuasaan yang diamanahkan kepadanya. Itulah sebabnya semasa memimpin, Abraham Lincoln pernah berkata”Pada dasarnya seseorang itu mampu mengatasi sebarang masalah dalam hidupnya. Namun, sekiranya anda mahu melihat perangai sebenarnya, berilah dia kekuasaan”.



Semasa seorang itu menerima kekuasaan dan tanggungjawab, rakyatnya sedang melihat siapa dia sebenarnya. Kekuasaan yang diberikan kepadanya juga bererti latihan menjalani kehidupan sebenar.



Hakikatnya belajar memberi kekuasaan (rakyat) bererti sedang belajar mengamanahkan tugas kepada seseorang (pemimpin). Sekiranya kita menerima kekuasaan daripada orang lain bererti kita belajar memegang tanggungjawab dan melaksanakan tugas tersebut dengan jujur dan ikhlas supaya kehidupan menjadi lebih baik dan teratur.....

Read more...

Selasa, 19 Oktober 2010

KEAGUNGAN SI MULUT BESAR


Siapa yang tidak mengenali Mohammad Ali, seorang peninju yang amat disengani sehingga kini. Beliau bukan sahaja dikenali sebagai “Si Mulut Besar” bahkan juga dikenali kerana memiliki jiwa yang besar dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Gelaran ini diberikan kepada beliau kerana corak beliau memberi semangat kepada dirinya berbeza dengan peninju lain. “Saya hebat, saya boleh, saya yang terbaik....!”, merupakan testimoni yang selalu beliau laung-laungkan. Kerana slogannya itulah maka beliau turut dikenali sebagai orang yang sombong.



Pada suatu hari semasa dalam perjalanan ke salah satu bandar menaiki kapal terbang, tiba-tiba pesawatnya bergegar dilanda cuaca buruk. Semua para penumpang diminta kembali ketempat duduk dan memasang tali pinggang keledar kecuali Ali. Pramugari yang menyedari hal tersebut terus menunju ke arah Ali sambil meminta beliau memakai tali pinggang keledar. Dengan selamba Ali menjawab’Superman tidak perlu memakainya”. Pramugari menjadi bengang lalu menjawab”Superman tak perlu naik kapal terbang”. Begitulah gambaran tentang keangkuhan Mohammad Ali.



Namun semua ini tidak bertahan lama, seiring dengan peningkatan usia beliau, pergaulan yang semakin luas, fikiran yang semakin matang akhirnya sikap sombong beliau ini berubah menjadi seorang insan yang mempunyai kerendahan hati dan berjiwa besar. Walaupun kini beliau perlu berjuang melawan penyakit Parkinson yang dihidapinya, kerja-kerja sosial dan kemanusiannya tetap dilaksanakan.



Pada suatu hari Ali berjalan-jalan di kawasan kotor di daerah Harlem, New York. Beliau diringi oleh para pengawal peribadi beliau dan beberapa orang wartawan. Ketika berada disatu lorong, Ali terjumpa dengan seorang pengemis yang kotor lagi menjijikan. Pengemis tersebut meminta sedekah kepada beliau, sambil mengarahkan rombongan beliau meneruskan perjalanan, Ali membongkok sambil berbual-bual dengan pengemis tersebut. Setelah selesai Ali pun beredar dari tempat tersebut. Namun dalam rombongan tersebut ada seorang wartawan yang memerhatiakn gerak geri Ali dari awal lagi. Wartawan tersebut ingin tahu apa yang dibualkan oleh Ali dan pengemis tadi, lalu wartawan tersebut mengejar pengemis tadi untuk bertanyakan perkara apa yang dibualkan dengan Ali tadi. Apabila ditanya apa pendapat pengemis itu dengan gelaran “Ali Yang Terhebat” (Ali The Greatest), pengemis itu hanya berkata “Ali memang hebat dan beliau sangat baik”.



“Adakah kerana wang yang diberikan oleh Ali maka kamu berkata demikian”Kata wartawan kepada pengemis itu. Sambil mengelengkan kepala pengemis itu mengatakan bahawa Ali bertanya mengapa dia terdampat di situ, lalu saya menceritakan kisah hidup saya yang sebenar. Semasa saya menceritakan kisah saya, saya melihat mata Ali berkaca-kaca dan ada air yang bergenang di pelupuk matanya. Beliau seorang yang hebat kerana ketika saya menangis didepannya dia menangis untuk saya. Itulah dia Mohammad Ali......



Menangislah dengan orang yang menangis, ketawalah dengan orang yang ketawa, bersedih lah dengan orang yang sedih dan bergembiralah dengan orang yang gembira. Keagungan dan kehebatan kita sebenarnya bukan diukur melalui betapa besarnya rumah kita, kereta kita, harta kita, pangkat kita atau popularnya kita, tetapi apabila kita sanggup dan ikhlas berada bersama-sama dengan orang yang ditimpa musibah bagi berkongsi kasih sayang dan mengambil berat antara satu sama lain. Pemimpin Terhebat adalah mereka yang berkongsi masalah dengan rakyatnya, tidak membiarkan mereka melupainya dengan membaja mereka dengan kebaikkan dan keagungan hati. Cermin merupakan objek yang amat unik dan mengagumkan. Tanpa cermin kita tidak akan nampak wajah sebenar kita. Rakyat adalah cermin kepada pemimpin manakala pemimpin adalah nakhoda kepada kehidupan rakyat. Ibarat pepatah melayu mengatakan “ Bapa kencing berdiri, anak kencing berlari”, segala sikap pemimpin yang tidak baik pasti dicontohi oleh rakyatnya. Andai Pemimpin suka berbohong maka tidak hairanlah rakyatnya menabur janji kosong yang kononya akan mengundi pemimpin itu dalam pilihanraya akan datang. Pemimpin yang suka berlagak dan egois sebenarnya tidak mempunyai keagungan Hati, dan memperlihatkan kerendahan budinya.



Harry S. Truman, bekas Persiden Amerika Syarikat, pernah mengatakan apabila kita faham sudut pandangan orang lain, kita dapat memahami apa yang dia cuba lakukan, maka 9 daripada 10, di cuba mengerjakan dengan benar.


Read more...

Selasa, 12 Oktober 2010

PERANGAI MONYET PUN KITA NAK TIRU....




Beberapa hari ini isu mengenai tindakan beberapa YB di daerah kota belud yang seakan-akan memboikot kehadiran atau lebih menariknya lagi menolak kepimpinan Datuk Shafie Apdal mendapat liputan yang meluas bahkan peniaga ikan dipasar besar kota belud pun turut menjadi pengkritik yang hebat, masing-masing dengan hujahnya. Daripada blog hingga kepada Facebooknya hampir membincangkan isu yang sama. Di sini saya tidak akan memperincikan isu tersebut kerana saya yakin semua rakan-rakan tahu sebab isu ini ibarat “Pisang Goreng Di Restoran Kotaraya”. Saya terpanggil untuk melontarkan hanya sedikit pendapat yang mungkin tidak sesedap air Kelapa Mawar, tidak sehebat sekali ketuk dan tidak sepetah Murai KB atau juga tidak sebijak Apa yang Tersirat. Biasalah paikan sentiasa lambat tetapi pastinya menjadi juara.....Sekadar membawa kita berfikir....



Jika kita ingat lagi, tahun 2006 layar perak kita digegarkan dengan satu filem kemanusian yang mengangkat nilai-nilai kehidupan kita sebagai manusia iaitu King Kong. Filem ini mendapat tempat dihati masyarakat kita di negara ini, apatah lagi filem ini mendapat sentuhan daripada pelakon terkenal seperti Naomi Watts, Jack Black dan Adrien Brody. Filem ini mengajar kita akan erti kemanusian dalam menghargai makhluk lain ciptaan Tuhan. Namun king kong tetap king kong, ia bukan makhluk yang memiliki akal, perasaan dan sentiasa mahukan kebebasan seperti manusia.



Seorang pengkaji telah membuat permerhatian terhadap 4 ekor monyet. Monyet-monyet ini diletakkan kedalam sangkar dan ditengah-tengah sangkar tersebut digantungkan sebiji pisang tanduk yang ranum. Melihat pisang tersebut monyet-monyet ini keriangan sambil berusaha untuk mendapatkan pisang tersebut, namun setiap kali monyet-monyet mendekati pisang tersebut si pengkaji tadi akan memancutkan air dengan deras ke arah mereka. Walaupun hanya seekor yang mendekati pisang tersebut hakikatnya keempat-empat monyet tersebut terkena tempias pancutan air. Keadaan ini berterusan sehingga semua monyet ini mengerti bahaya mendekati pisang tersebut.



Beberapa lama kemudian seekor monyet dikeluarkan dan digantikkan dengan monyet baru. Monyet baru ini pun mula lah ghairah melihat pisang yang tergantung itu dan mula membuka langkah menghampirinya, namun apa yang terjadi ketiga-tiga ekor monyet segera berteriak sambil menarik monyet baru supaya tidak pergi mendekati pisang itu kerana takut terkena pancutan air. Walaupun agak hairan, namun monyet baru itu akhirnya mengerti bahawa ia tidak boleh mendekati pisang itu. Malah ia turut sama menghalang sekiranya ada monyet yang mendekati pisang itu. Walaupun kini tidak ada semburan air lagi, semenjak cubaan pertama sebelum monyet yang kedua diganti. Apabila pemerhatian diteruskan semua monyet itu tidak tahu mengapa mereka dilarang sebenarnya.



Walaupun kita menolak teori Evolusi Darwin, tanpa kita sedari ramai di antara kita melakukan sesuatu tanpa tahu mengapa perkara itu dilakukan dan mengapa pula ada perkara yang dilarang. Ibubapa yang bijakasana akan memberikan penjelasan terhadap sesuatu perkara kenapa dan mengapa perkara itu dilarang terhadap anak-anak mereka. Manakala pemimpin yang bijaksana lagi arif juga pasti memberikan penjelasan yang diterima akal ke atas sesuatu peraturan hingga seluruh pengikutnya menerima peraturan itu sebagai komitmen.



Ada satu cerita menarik mengenai pokok buluh. Biasanya pokok buluh yang tumbuh lurus akan dipotong untuk dibuat pelbagai benda termasuk dibuat sebagai pagar. Tetapi buluh yang bengkok biasanya dibiarkan begitu sahaja dalam erti kata yang lain dibiarkan hidup dalam kebengkokan. Begitulah kehidupan kita sebagai manusia, mereka yang lurus bendul dan berjalan dilandasan yang betul akan dicantas manakala yang mengikut hawa nafsu dan hidup dalam kebengkokan akan terus disokong dan dipuja. Sayang sekali kerana ramai yang mengamalkan cara kerja sebagai pak turut hanya kerana mahu menyenangkan hati pemimpin atau hanya kerana menjaga periuk, belanga nasi mereka. Bahkan nilai moral turut dilanggar, hanya kerana mahu menyenangkan hati pemimpin, seseorang itu sanggup berhutang membeli kereta besar supaya boleh menjadi driver. Hanya kerana mahu mendekati pemimpin seseorang itu sanggup mengiyakan kata-kata pemimpin tersebut sekali pun terang dan jelas ia nya salah. Demi projek pemimpin itu dianggap seakan-akan malaikat malahan ada yang sanggup menjadi pembancuh kopi di rumah pemimpin tersebut.



Melayan orang lain tidak salah apatahlagi pemimpin, guru, rakan ataupun adik beradik. Tetapi yang menjadi bahayanya apabila “ada udang disebalik mee goreng”. Kita diciptakan dengan akal fikiran agar menilai dan menimbang dorongan emosi. Kematangan dan kehebatan seseorang bukan dinilai betapa kuatnya dia menghentam meja, betapa gagah dia menumbuk seseorang tetapi bagaimana kuatnya dia mengendalikan emosi diri dalam apa jua keadaan. Hakikatnya manusia sentiasa bercakap mengenai kelemahan dan keburukan orang lain daripada kebaikannya terutama menyentuh soal pemimpin, seperti monyet, kadang-kadang manusia begitu juga. Dia menyampaikan maklumat buruk mengenai diri seseorang kepada orang lain tanpa tahu keadaan yang sebenarnya(mengikut sahaja seperti Pak Turut). Kita bukan monyet atau King Kong, bahkan kita diciptakan oleh Allah sebagai makhluk yang memiliki darjat tertinggi di antara semua ciptannya.



Cuba kita renungkan seketika, bagi mengubah sesuatu yang sudah lama bertapak, tentu mereka akan menjawab” Tidak tahu, memang dari dulu pun sudah begitu”. Bagi menegur pemimpin pula, pasti Pak Turutnya menjawab” Kamu tidak hormat pemimpin, tanpa dia kamu siapa, dia lagi tahu soal kepimpinan, dia lagi dahulu makan garam, dia lagi banyak pengalaman, dia lagi dan dia lagi............”. Sehingga kan hendak ditegur pun menjadi sengketa.



C. Neil Strait mengatakan bahawa”Perubahan adalah sesuatu yang sukar dilakukan bagi orang yang biasa hidup secara rutin”.



Read more...

pesanan

Penafian:Penulis blog paikankb tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan, Segala komen atau ulasan, fakta berunsur hasutan yang dialami kerana melayari atau menggunakan maklumat dalam blog ini.

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP