Rabu, 2 Disember 2009

POLITIK WANG DAN KEPIMPINAN


Suasana politik orang kita sekarang boleh dikatakan berada dalam satu keadaan yang menyedihkan dan memalukan serta memualkan. Amalan politik wang yang hebat diperkatakan dewasa ini bukan sahaja memberi satu gambaran buruk tentang cara orang kita berpolitik dalam menerajui kepimpinan negara, malah ia turut meninggalkan satu noda hitam ke atas kesucian agama Islam yang menjadi pegangan hidup kita. Dalam pemilihan bahagian UMNO Kota Belud beberapa bulan yang lepas, kita terus disajikan isu berkaitan dengan politik wang yang bukan sahaja daripada posting rakan bloger bahkan juga perbincangan empat mata di kedai-kedai kopi.


Apa yang berlaku dalam dunia politik sekarang menggambarkan bahawa dorongan utama para pemimpin kita pada hari ini bukan untuk memperjuangkan kepentingan bangsa tetapi lebih kepada perjuangan untuk mengambil kesempatan dalam kesempitan bagi kepentingan peribadi. Maruah agama dan kepentingan kaum sendiri sudah tidak lagi menjadi keutamaan mereka. Dalam kehidupan sekarang, pangkat dan kuasa menjadi suatu asas utama untuk mencapai matlamat yang seterusnya. Dengan kata lain, kedua-duanya boleh menjadi kunci kepada pintu kekuasaan dan kekayaan yang lebih besar. Jadi penggunaan wang untuk meraih sokongan di peringkat akar umbi dilihat sebagai satu bentuk "pelaburan awal" ke arah mencapai matlamat tersebut.

Sesebuah negara memerlukan pemimpin yang berintegriti. Pemimpin yang rasuah akan hanya menyebabkan pentadbiran negara menjadi lemah dan ini akan mendedah negara tadi kepada ancaman luar. Ini kerana pemimpin yang dipilih tadi diangkat ke jawatan atas dasar wang rasuah dan bukan berasaskan kepada keupayaan dan kewibawaannya. Berlainan dengan pemimpin pada zaman awal Islam. Saidina Umar al-Khattab sebagai contoh merupakan memang seorang yang sangat berwibawa yang meletakkan kepentingan negara lebih daripada kepentingan diri dan keluarganya.Beliau pernah ditawarkan kenaikan perbelanjaan sara diri tetapi menolak tawaran tadi walaupun pada dasarnya dia berhak untuk menerima atas alasan hak dia adalah sama dengan rakyat biasa. Apa yang membezakan beliau dengan rakyat kebanyakan hanyalah dari segi tanggungjawab di mana beliau mempunyai lebih tanggungjawab terhadap negara berbanding rakyat biasa. Bagaimanapun ciri yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar al-Khattab ini sukar untuk diperhatikan pada pemimpin sekarang. Tanggapan segelintir pemimpin sekarang, kemampuan merebut jawatan akan membuka lebih ruang kepada keupayaan menggandakan peluang keduniaan yang ada.

Islam menganggap kepimpinan atau tugas memimpin itu adalah sebagai satu amanah. Oleh itu jawatan pemimpin bukanlah satu kedudukan yang boleh dianggap istimewa atau perlu direbut-rebut. Inilah yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w kepada Abu Zar r.a semasa beliau meminta baginda Rasulullah melantiknya untuk suatu jawatan : Sesungguhnya kepimpinan itu adalah satu amanah, yang pada hari akhirat kelak dipertanggungjawabkan dengan risiko kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi mereka yang memenuhi syarat dan dapat melaksanakan tugas yang dibebankan kepadanya dengan baik. (hadis riwayat Imam Muslim)

Pemimpin yang berintegriti berkeupayaan untuk mewujudkan satu ummah yang cemerlang. Contoh teladan yang baik yang ditunjukkan oleh para pemimpin akan menjadi ikutan dan amalan orang yang dipimpin. Dalam bab kepimpinan ini, Saidina Umar Al-Khattab pernah mengumpamakan sesebuah bangsa itu sebagai unta yang kesakitan hidung yang akan mengikut arahan gembalanya. Jadi si gembala perlu berhati-hati ke arah mana patut dipandu. Justeru adalah sangat beruntung bangsa tadi jika pemimpin mereka mengikut jalan yang benar.

Sesungguhnya untuk menyelesaikan masalah politik wang, kita memerlukan satu keazaman politik (political will). Apalah maknanya jika kita heboh memperkatakan tentang rasuah politik sedangkan tiada usaha yang bersungguh-sungguh dalam diri setiap rakyat dan pemimpin untuk menghapuskan amalan ini daripada terus berleluasa. Ketiadaan keazaman politik untuk mengekang masalah politik wang akan menyebabkan urusan kepimpinan bangsa dan agama akan diterajui oleh mereka yang tidak berkelayakan dan berwibawa. Jika ini terus berlaku maka kita seharusnya bersedia menanti apa yang disebut oleh nabi s.a.w di dalam hadisnya yang bermaksud : Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.

Read more...

Ahad, 29 November 2009

BILA SEMUANYA BICARA SOAL POLITIK


Masyarakat kita kini mulai sedar dan berfikir mengenai politik dan kesannya kepada masyarakat dan Negara. Apa tidaknya, lihat sahaja di mana-mana pasti topiknya soal politik. Tidak kira terpelajar ataupun tidak terpelajar, hakikatnya politik pasti topik utama. Yang terpelajar bercerita pasal politik tidak mengapa lah, tapi bagi yang tidak terpelajar membicarakan soal politik ibarat ketam mengajar anaknya berjalan. Di sini posting saya kali ini sebenarnya bukan memperkecil-kecil atau jauh sekali menghina khalayak yang tergolong dalam kelompok “Mereka yang tidak terpelajar” dalam membincangkan soal politik. Sumbangan kelompok ini turut tidak dipertikaikan, namun biarlah kita berdiri atau berpijak dibumi yang nyata.

Seorang Doktor pasti akan berasa pelik apabila diminta mengajar untuk subjek Muzik, atau seorang mekanik kereta diminta menjadi pakar bahasa (walaupun sekarang dunia semakin moden, tidak semestinya kita boleh melakukan semua perkara) pasti pekerjaan yang diberikan tidak dapat dilakukan dan andai pun berjaya dilakukan kemungkinan besar hasilnya tidak memenuhi piawaian sebenar pendek kata tidak mengikut spesifikasi SIRIM. Maka itulah kita bercakap apabila perlu sahaja, bercakap apabila kita benar-benar tahu dan faham akan persoalan dan perbincangan yang hendak disampaikan. Namun semua ini ibarat mencurahkan air kedaun keladi, masyarakat kita cukup hebat kerana boleh bercakap apa sahaja, sama ada benar atau tidak itu belakang kira (Berpegang Kepada Istilah demokrasi terpimpin) asalkan dapat bercakap. Saya amat tertarik dengan penulisan saudara Dr. Mohd Ridhuan Tee, Pensyarah Kanan, Unversiti Pertahanan Nasional, Malaysia yang diterbitkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia yang bertajuk “Kita akan Kalah jika terus mengalah”. Dalam penulisan beliau itu, saya amat bersetuju dengan pendapat beliau yang menyatakan “Saya menyeru supaya kita jangan terlalu berpolitik. Masa dan wang ringgit banyak dihabis untuk menewaskan sesama sendiri . Malangnya, kita tidak hanya berpolitik dalam politik, tetapi dalam bidang lain pun berpolitik juga. Pendek kata, dalam bidang apapun diperkatakan, Umat Islam kita berpolitik. Politik yang merugikan dan melemahkan”.


Nah...! kita lihat dalam kelompok atau masyarakat kita di daerah Kota Belud amnya, daripada pasar ikan, perhentian bas, restoran, masjid, kedai runcit, sawah padi, laut semuanya membicarakan soal politik. Saya bukan mengatakan berpolitik itu tidak perlu atau tidak penting, tetapi biarlah kita bercakap “apabila perlu” sahaja. Jimat masa dan tenaga. Mencarut dan memfitnah pun pasti terhindar. Tuduh sana, tuduh sini akhirnya dosa juga kita dapat, pahalanya entah kemana. Namun dalam masa yang sama saya secara ikhlasnya berasa bangga dengan perkembangan masyarakat kota belud, kerana ramai yang mulai peka terhadap permasalahan masyarakat setempat. Para cendikiawan dan bijak pandai masyarakat kita mulai bersatu dalam memperjuangkan hak sebenar rakyat. Walaupun melalui kuasa maya namun impak maksimanya cukup membuatkan para pemimpin kecut perut. Melihat keadaan pemimpin sekarang, adalah tidak keterlaluan ibarat cacing yang sedang kepanasan. Bukan sahaja segala kelemahan dituturkan bahkan sejarah dan kes lama turut dibangkitkan. Hasilnya ini bukan sahaja kelompok masyarakat kita yang membaca dan menilainya, bahkan seeluruh dunia boleh membaca dan menilainya.


Berbalik kepada sikap masyarakat kita yang suka berpolitik, sehinggakan dalam penulisan saudara Azrone, memberi kiasan “mengenai kehebatan seorang office boy” dalam merancakkan kepolitikkan didaerah kota Belud. Bukan itu sahaja, driver pun turut ingin menjadi hero dalam dunia kepolitkkan ini. Malahan hebatnya aura politik ini sehinggakan jawatan boleh diberikan kepada yang langsung tidak layak. Lihat sahaja di dalam organisasi MDKB dan pejabat Daerah, difahamkan hampir separuh kakitangannya adalah lantikan melalui kuasa politik. Akhirnya, kesan kepada masyarakat kita, anda mungkin sudah merasa dan andai yang belum mencubanya sila lah cuba berurusan dengan jabatan penting di daerah kota belud ini, pasti anda akan mengingatinya hingga keakhir hayat. Inilah masalah bila kita terus-terusan berpolitik, bercakap lah “Apabila perlu” sahaja. Kita bernasib baik kerana hari ini kita menjadi pengguna teknologi, bukan pencipta. Sekurang-kurangnya kita punyai masa dan waktu untuk memikirkan ke mana hala tuju masyarakat kita. Bagi yang bukan terpelajar tetapi “Bijak” pandai, fikirkan lah sumbangan kepada Negara, masyarakat selain berbicara soal politik.

Read more...

Sabtu, 21 November 2009

ADA MANUSIA BERTARAF SYAITAN MANUSIA ?


ADA MANUSIA BERTARAF SYAITAN MANUSIA ?

from PakKaramu by ~PakKaramu~ Assalamu'alaikum Wr,Wb



Manusia yang telah di cipta oleh Allah dari zuriat Adam dan Siti Hawa di kehendakki oleh Allah s.w.t hidup dalam keadaan aman dan damai dengan mengamalkan hidup beragama dengan agama yang telah di sediakan oleh Allah s.w.t, untuk memastikan mereka dapat hidup aman dab damai serta terus di bimbing ke jalan agama tersebut maka Allah s.w.t telah mengutuskan beberapa nabi-nabi dan Rasul-rasul, namun ada sebilangan besar di kalangan manusia tidak dapat untuk hidup beragama sebagaimana yang di kehendaki oleh Allah



Manusia tergolong kepada dua golongan iaitu golongan yang patuh dan golongan yang tidak mahu patuh, golongan yang patuh di kenali sebagai Hizbullah (kumpulan Allah) dan kumpulan yang tidak mahu patuh di kenali sebagai kumpulan syaitan (Hizbus syaitan) Kumpulan Hizbullah mengambil panduan daripada Allah yang di sampaikan oleh Rasul-rasul Tuhan, sementara kumpulan Hizbul syaitan mengambil panduan daripada syaitan melalui keputusan akal yang tidak dapat membezakan yang hak dan yang batil



Kumpulan Hizbullah kebiasaannya menjadi orang kecil di dunia serta di hina dan di maki hamun kerana kezuhudannya, akan tetapi menjadi orang besar di akhirat, sementara Hizbus syaitan akan menjadi orang besar di dunia serta di sanjung puji dan muliakan akan tetapi mereka akan menjadi orang kecil dan kerdil di akhirat dan akan di tempelak oleh pengikut-pengikutny a di hari kiamat dan Allah pasti akan menyeksa mereka kesemuanya dengan keadilan Rasullullah s.a.w mengingatkan bahawa selepas beliau maka para ulama akan menggantikannya selepas beliau tidak ada dan ulama ini akan menjadi orang besar juga di akhirat, mereka akan menyambung tugas nabi dan Rasul-rasul di dunia ini kerana menegakkan ideologi Allah s.w.t yang berpandukan Al-Quran dan sunnah


Rasullullah s.a.w serta keimanan kepada mentauhidkan Allah. pewaris nabi tidak boleh bersikap leka dan lewa untuk mengembangkan ideologi Allah dan RasulNya kerana ia akan di dajal Al Masihkan oleh golongan syaitan



Soal beragama adalah soal akidah dan setiap akidah wajib berpandukan dengan apa yang telah di tetapkan oleh agama bukan boleh di pandu oleh akal yang tiada prinsip kebenarannya. Umat islam mula berpecah. Selepas zaman khulafa Ar Rasyidin apabila istilah khalifah sudah tidak lagi di guna pakai, manusia berpecah belah sesama sendiri yang sebelumnya mereka bersatu padu dalam beragama, di Makkah sendiri pengikut-pengikut mazhab Imam Hanafi tidak mahu bersembahyang yang di imami oleh imam yang bermazhabkan imam syafi'e sehingga datang perintah daripada Raja Abdul Aziz Ibnu Saud supaya bersembahyang bersama-sama, peristiwa ini berlaku pada tahun 1925
.


Selepas zaman khulafa Ar Rashidin juga ramai di kalangan umat islam yang telah menjadi rosak akidahnya serta mereka membelakangkan agama Tuhan dengan menggantikannya dengan agama yang beasaskan kepada semangat bangsa. Imam Malik menerangkan Rasullullah berpesan supaya umatnya mengikut jejak langkahnya serta para sahabat baginda dan jangan sekali-kali mengikut pandangan orang lain yang di sebut sebagai Ra'yi terutama dalam mentadbir negara, bangsa dan agama Kita dapat melihat dan memaklumi bahawa kebanyakan umat yang mengakui islam bermati-matian mempertahankan fahaman nasionalis, kapitalis, feudalis dan sebagainya, mengapa mereka tidak saja mengamalkan islam yang di katakan sangat tinggi dan tiada yang lebih tinggi selain daripadanya ? Di negara yang mempunyai partai politik yang berfahaman kominis misalnya para penduduknya memuji dasar di dalam negara tersebut tanpa kecuali mereka yang beragama islam di dalamnya termasuklah yang bergelar ulama, demikian juga dengan negara yang berfahaman yang lain Dalam masalah sembahyang, puasa, haji, zakat serta mengucap kalimah syahadat, mereka mengikut agama Allah akan tetapi dalan soal hukum bernegara mereka membuang islam dan mengambil peraturan yang bukan islam dengan alasan sistem tersebut sesuai dan hampir sama dengan sistem islam, semua ini berlaku kerana pemikiran mereka telah di serang oleh kumpulan syaitan namun dalam masa yang sama mereka terus juga melakukan ibadat beragama seperti yang agama mahukan, ertinya mereka telah menerima islam separuh dan menolak separuh, kumpulan syaitan ini Allah menetapkan kepada mereka sebagaimana firmanNya " Apakah kamu beriman sebahagian daripada kitab dan kufur kepada sebahagian yang lain ? Tiada balasan orang yang berbuat demikian daripada kamu kecuali kehidupan dunia dan akhirat akan Allah halau kepada 'azab yang amat pedih " (Al Baqarah 85)


Dalam masalah beragama ini jika keadaan demikian berlaku maka terhukumlah pada mereka itu sebagai kafir, demikian yang di nyatakan oleh seorang ulamak terkenal dalam tafsir Al Qurannya Al Azhar muka surat 6 juzuk 8 dalam surah Al An'am beliau berkata apabila ada di antara manusia yang lebih yakin kepada sistem yang bukan islam itu lebih baik daripada sistem islam maka telah kafirlah mereka itu walaupun pada masa yang sama mereka melakukan ibadat kepada Allah Syaitan manusia di sebut oleh Allah di dalam Al Quran yang bermaksud: " Dan demikianlah Kami jadikan setiap nabi-nabi itu musuh dari syaitan-syaitan jenis manusia dan jin, sebahagian dari mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain dengan kata-kata dusta yang indah untuk memperdaya pendengaran (untuk menipu) " Al An'am 112 Dan firman Allah lagi yang bermaksud: " Dan demikianlah Kami adakan dalam setiap negeri (negara) orang-orang besar yang jahat, supaya mereka melakukan tipu daya di negara tersebut ....... " (Al An'am 123)





SUMBER; AMBUYATEL-BINAGKIT.BLOGSPOT.COM

Read more...

pesanan

Penafian:Penulis blog paikankb tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan, Segala komen atau ulasan, fakta berunsur hasutan yang dialami kerana melayari atau menggunakan maklumat dalam blog ini.

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP