Ahad, 21 Jun 2009

SELAMAT HARI BAPA..




SELAMAT HARI BAPA buat ayah-ayah, bapa-bapa, abah-abah, pak-pak, father-father, ama-ama dan kepada semua kaum lelaki yang mempunyai anak amnya. Di kesempatan ini saya ingin berkongsi "sedikit" pengalaman yang amat sukar dan tidak AKAN dapat ku lupakan mengenai pengorbanan seorang insan yang bergelar ayah atau ama serta keluarga ku yang tercinta.




Sedari kecil lagi saya amat rapat dengan ama, sehinggakan kalau tak silap saya masih tidur bersama-sama dengan ama sehingga berumur 12 tahun. Walapun bukan anak manja ama, tapi saya bersyukur kerana kasih dan sayang ama tidak pernah berbelah bahagi terhadap kami semua. kami merupakan sebuah keluarga yang besar seramai 12 orang, 10 lelaki dan 2 perempuan, saya merupakan anak ke 5 tergolong dalam kelompok kaum adam. Cuba saudara-saudara bayangkan betapa peritnya ama dan ena (Ayah dan Ibu) membesarkan kami semua. Tambahan pula ama hanya bekerja sebagai penjual ikan dan petani manakala Ena merupakan suri rumah sepenuh masa. Saya akui kehidupan kami pada ketika itu ibarat "Kasi pagi makan pagi, kais petang makan petang", airmata ena sering berlinangan melihat penderitan anak-anaknya. Sebagai seorang ketua keluarga ama hanya sekadar berdoa dan berusaha agar mendapat kekuatan bagi merubah kehidupan kami sekeluarga. Saya faham sangat andai ama menghadapai masalah kewangan, beliau tidak banyak bercakap dan lebih suka berdiam diri, kami adik beradik amat faham dan seperti biasa kami akan cuba menjaga kelakuan agar tidak menimbulkan kemarahan kepada ama.






Pada satu ketika kami sekeluarga terpaksa mengalas perut dengan hanya buah pisang muda yang direbus cecah garam atau gula. Buah pisang itu pula terpaksa diambil waktu malam agar tidak diketahui oleh orang lain. Kakak (Babai), abang aping dan abg Belin terpaksa berjalan kaki untuk ke salah sebuah sekolah menengah di daerah Kota Belud. Oh ya satu lagi kisah yang pasti saya teringat apabila sebungkus Maggi terpaksa dibahagi 4 untuk kami makan adik beradik (Sehingga sekarang apabila teringin memakan maggi bersama isteri ataupun kawan-kawan pasti kisah ini saya ceritakan kepada mereka). Ama dan ena seperti biasa apabila Babai jemput makan bersama-sama mesti akan berkata "Kan kanun, mausug kami pen" padahal hampir sehari ama dan ena tidak menjamah sedikit makanan pun.



Namun, kehidupan kami sekeluarga sedikit demi sedikit mula berubah, Babai walapun tidak dapat melanjutkan pelajaran keperingkat tinggi namun Allah itu maha pengasih apabila dia mendapat pekerjaan sebagai pembantu Guru Prasekolah dan seterusnya membantu keluarga sehingga kini. Apa yang boleh saya katakan disini, setiap ahli keluarga saya mempunyai pengorbanan yang tidak akan dapat saya ataupun sesiapa boleh atasi. Setiap pengorbanan Ama,Ena, Babai, abang-abang dan adik-adik yang lain amat berharga buat keluarga tercinta kami ini. Abang Aping sanggup menolak tawaran untuk melanjutkan pengajian keperingkat Tinggi dan memilih untuk menjadi guru sandaran ketika itu demi membantu Ama merubah kehidupan keluarga kami. Syukur Alhamdulillah, benarlah kata-kata Ama dan Ena bahawa "Pun tanu sabar Walata'alla pasti tumabang".




Terlalu banyak kisah pengorbanan ama buat kami sekeluarga, bahkan sehingga kini ama masih terus "bekerja" sekalipun kami anak-anaknya boleh lah dikatakan telah berjaya dalam kehidupan masing-masing. Mungkin disebabkan oleh pengalaman-pengalaman yang lalu maka ama terus berusaha dan berusaha agar adik-adik yang lain tidak merasai keperitan yang kami rasa ketika masa dulu. Namun usia Ama sekarang membuatkan beliau terpaksa menghadkan "aktiviti" mencari rezeki untuk keluarganya, kami sebagai anak-anak bertekad sekalipun pahit kami akan galas tanggungjawab Ama demi kebaikkan keluarga kami semua.



Kepada Ama dan keluarga terutama Abang Aping dan Abang Belin SELAMAT HARI BAPA. Semoga keluarga kita sentiasa di berkati Oleh Allah. Babai, Abang Aping, Abang Belin, Abang Belan dan adik-adik yang lain bersamalah kita "berjuang" demi keluarga tercinta kita ini. Sekalipun terlalu susah, fikirlah bahawa kehidupan kita ini ibarat roda, ia akan sentiasa berputar dan terus berputar serta akan terus berputar.... " SAKEN EH KHA LIMU KU TANTU SEKANU, TERUTAMA KELUARGA TANU" IKHLAS DARIKU PAIKANKB...












INFO MENGENAI NEGARA YANG MERAIKAN HARI BAPA 2009


21 June 2009- bersamaan Ahad ketiga dalam bulan Jun bagi negara-negara berikut: Malaysia, Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Argentina, Bahamas, Bangladesh, Belanda, Bulgaria, Chile, China, Colombia, Costa Rica, Cuba, Cyprus, Filipina, Greece, Guyana, Hong Kong, India, Ireland, Jamaica, Jepun, Kanada, Malta, Mauritius, Mexico, Pakistan, Panama, Paraguay, Perancis, Peru, Puerto Rico, Singapura, Slovakia, Sri Lanka, Switzerland, Trinidad dan Tobago, Turki, United Kingdom, Venezuela, Zimbabwe.


5 Disember 2009 - tarikh yang tetap.. bagi Thailand


6 September 2009 – Ahad pertama dalam bulan September bagi negara Australia dan New Zealand


19 Julai 2009 – Ahad ketiga bulan Julai bagi negara Uruguay


19 Mac 2009 – tarikh yang tetap bagi negara Bolivia, Honduras, Itali, Liechtenstein, Portugal, Sepanyol
















Read more...

Rabu, 17 Jun 2009

KERAJAAN PERPADUAN MENUJU PERPADUAN ATAU KEHANCURAN

Melihat gelagat kedua-dua belah pihak UBN dan PAS tidak keterlaluan andai saya katakan isu kerajaan Perpaduan ibarat "Pisang Goreng" cepat laku dan sedap pula untuk di makan. Setiap hari didada-dada akhbar yang bidang terpampang pelbagai ulasan dan pendapat mengenai isu kerajaan perpaduan. Malah bagi pencinta "Idea" ini mereka terus berlumba-lumba mendapatkan berita-berita terkini "Hiburan sensasi" ini. Namun apa yang paling menarik apabila komenter-komenter didalam pelbagai anutan dan bidang ini menegakkan idea dan anutan masing-masing yang bukan sahaja mendasari perjuangan parti PAS bah kan juga terhadap Parti UMNO itu sendiri. Tidak kurang pula yang bertindak sekadar pemerhati dan "Berpuasa" di dalam memberikan sebarang ulasan mengenai isu ini.



Sebenarnya bukan mudah dan bukan senang untuk kedua pihak ini merealisasikan " Kerajaan Perpaduan" tanpa didahuli oleh sikap ikhlas dan jujur dikedua belah pihak. Namun apa yang melucukan sekarang, kerajaan UBN seakan-akan cuba meneguk secawan teh tarik di air yang keruh. Akhbar pro kerajaan banyak menyiarkan laporan atau cerita perbalahan antara sesama pemimpin PAS sahaja dan ini merupakan satu tindakan yang tidak wajar. Hal ini kerana pihak kerajaan mestilah bertindak adil didalam menterjemahkan sebenar kehendak kedua-dua belah pihak dan bertindak bijak dalam mengulas mengenai isu kerajaan perpaduan. Sesetengah pendapat amat berasa kecewa dengan situasi sekarang. Bukankah tujuan utama adalah menyatupaduan masyarakat negara kita dan seterusnya memperjuangkan bangsa Melayu dan Islam itu tanpa mendauhukan kepentingan parti masing-masing.


Melihat dari konteks penganut PAS, amat diakui bahawa wujud satu jurang yang amat dalam terutama didalam menangani isu ini oleh pihak atasan. Berlaku perdebatan dan perselisihan pendapat oleh ketua pimpinan dan orang bawahannya. Persoalanya sekarang mengapa tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak PAS didalam menangani Isu ini seperti mengarahkan agar setiap ahli atau pimpinan PAS tidak boleh memberikan sebarang ulasan atau kritikkan sebelum mendapat lampu hijau dari ketua Parti. Banyak ulasan sebenarnya dimanupulasi oleh sesetengah pihak sehingga mewujudkan situasi yang amat menakutkan dikalangan ahli PAS sendiri.


Dari perspektif UBN pula, situasi ini merupakan situasi yang perlu dipertimbangkan dan seterusnya mendapat perhatian yang amat berat demi kelangsungan negara Malaysia. Namun, Para pemimpinnya pula sentiasa memberikan pelbagai ulasan dan yang amat menyedihkan ramai dikalangan pemimpin UBN sentiasa mempersoalkan keikhlasan Parti PAS didalam membincangkan isu Kerajaan Perpaduan. Persoalanya sekarang, idea kerajaan perpaduaan ini di mulakan oleh siapa sebenarnya???



Sebagai rakyat Malaysia yang mahukan perpaduan dan kesatuan rakyatnya tidak kira bangsa manapun mengharapkan agar kedua-dua belah pihak mestilah menghentikan segala ulasan ataupun pandangan terhadap isu ini agar segala perbincangan berjalan dengan lancar. Selagi belum ada perbincangan yang sebenar berlaku, pada hemah saya "Diam" lebih baik daripada berceloteh. Saya turut akui bahawa bukan senang hendak menututp mulut semua orang, namun kita bercakap biarlah berlandaskan pada fakta yang benar agar isu yang baik akan terus menjadi baik, jangan kerana ulasan ataupun pandangan pelbagai pihak menyebabkan perkara yang baik menjadi jahat. Bukan niat saya mengatakan agar sesiapapun tidak boleh mengulas isu ini, tetapi biarlah memberikan ulasan yang seadil-adilnya agar masyarakat kita tahu apa tujuan sebenar kerajaan Perpaduan ini diwujudkan. Saya amat yakin para bloger yang lain lagi arif dalam soal memberikan sebarang ulasan. Bersama kita fikirkan.....

Read more...

Khamis, 11 Jun 2009

MASYARAKAT IRANUN: KEPERCAYAAN TERHADAP MAKHLUK HANTU.....

Perkataan "Hantu" sentiasa mendatangkan ketakutan dan rasa seram ke dalam diri kebanyakkan kita. Sekadar menceritakan mengenai hal itu saja, sudah memadai untuk menusuk debar yang tidak berkesudahan. Tatkala membayangkan rupa makhluk halus itu yang dalam keadaan mengerikan, ia cukup untuk membekaskan trauma perpanjangan. Hantu sering dibayangkan sebagai makhluk yang amat mengerikan, dengan wajah hodoh menakutkan, darah merah sentiasa menitis daripada jasad makhluk itu selain hilaian tawa yang meremangkan bulu roma. Hantu juga dianggap sesuatu yang ”Tabu” dalam masyarakat. Lantaran kehadiran mereka tidak dapat dilihat, hantu sentiasa mencetuskan rasa cemas tatkala diri berseorangan lebih-lebih lagi pada malam dan di tempat yang terasing.

Hantu menjadi Entiti Paranormal misteri yang sejarah kewujudanya terlalu lama untuk dikira. Misteri kewujudan hantu sudah bermula sejak zaman prasejarah lagi menerusi kepercayaan Animisme dan melanda seluruh pelosok dunia yang melewati sempadan benua dan budaya. Penduduk pada zaman purba mempercayai bahawa wujudnya suatu kuasa ghaib yang mampu mempengaruhi hidup mereka. Bermula daripada pegangan Animisme itu, jiwa manusia sehinggalah zaman moden pada hari ini. Sesuatu ironi mengenai hantu adalah gambaran fizikal makhluk halus itu didapati berbeza mengikut budaya sesuatu masyarakat.

Dalam budaya Kaum Iranun misalnya, terdapat pelbagai nama hantu antaranya, Bal-Bal, Manga-ngalek, Kalimbadut, Kangkang Laut, Antu Bangkit dan banyak lagi. Bal-Bal digambarkan sebagai manusia berupa makhluk yang kuat dan suka memakan pantat (Dubur) manusia seperti yang cuba diperlihat melalui filem “Balan-Balan”. Manga-ngalek pula dikatakan hanya bertindak sekadar menakut-nakutkan seseorang untuk melihat keberanian seseorang itu, manakala Kalimbadut turut digambarkan sebagai makhluk berambut panjang, melayang-layang diudara serta memiliki hilaian tawa yang meremangkan bulu roma. Kalimbadut ini hampir sama dengan Pontianak Cuma perbezaanya Pontianak mempunyai jantina yakni wanita, berwajah putih memucat manakala Kalimbadut hanya bergerak dengan menggunakan kepala yang tercabut dari tubuhnya.

Masyarkat Kaum Iranun amat mempercayai akan kewujudan Makhluk Bal-Bal ini sehingga menjadi bahan bualan apabila berlakunya sesuatu kematian. Salah satu penyebab kenapa masyarakat kaum Iranun masih mengamalkan budaya “ Tung guh Sa Tampat” sehingga sekarang adalah kerana kepercayaan kepada Makhluk Bal-Bal ini masih menebal. Makhluk Bal-Bal ini dipercayai mempunyai kekuatan yang luar biasa dan salah satunya, makhluk ini dipercayai mempunyai kebolehan mengetahui sesuatu kematian walaupun jarak antara makhluk Bal-Bal ini dengan jenazah tersebut amat jauh. Namun kenyataan ini mungkin disebabkan , masyarakat kaum Iranun mempunyai satu amalan ataupun kebiasaan ketika menghebahkan sesuatu kematian iaitu dengan menggunakan “balu” (paluan Gong). Tidak mustahil makhluk Bal-Bal ini mendapat maklumat melalui “balu” tersebut dan pada masa yang sama masyarakat Kaum Iranun menggangap bahawa ia merupakan satu kelebihan makhluk tersebut. Satu lagi senario yang boleh kita lihat dalam masyarakat kaum Iranun adalah, apabila anak-anak kecil mereka bermain ataupun pergi ketempat-tempat gelap atau berbahaya, ibubapa atau penjaga pasti akan mengatakan ” Nah..Bal-Bal, awa ka sa'an”. Menurut kajian yang di jalankan oleh penulis secara tidak formal, masalah ini sebenarnya disebabkan ibubapa atau penjaga tidak dapat mengawal tingkah laku anak-anak mereka ataupun secara bahasa lainnya ”Malas” untuk berdiri atau mendapatkan anak-anak kecil mereka agar tidak lari dari pandangan mereka. Hakikatnya kebiasaan dan sikap sedemikian akhirnya telah menyebabkan belia masyarakat kaum Iranun itu “takut akan bayang-bayang sendiri”.

Dalam Budaya Melayu pula, selain Pontianak terdapat hantu lain seperti Pocong yang digambarkan seumpama jenazah yang berbungkus kain kapan, Toyol yang dikatakan bersaiz bayi. Selain itu, dalam masyarakat Cina pula menggambarkan hantu sebagai mayat pucat yang menganggu manusia, malah kadang-kadang dikatakan bergerak dengan meloncat-loncat. Kebanyakan hantu yang digambarkan di Barat pula, kelihatan seperti mayat pucat dengan wajah mengerikan tetapi jasad mereka wujud sebagai bayangan dan tidak pejal seperti manusia.

Di barat, kajian sains terhadap fizikal hantu bagaimanapun tidak menjumpai jelmaan fizikal hantu seperti yang digembar-gemburkan sebaliknya makhluk halus itu hanya berjaya dikesan sebagai bentuk cahaya atau bayang yang berterbangan. Hantu yang berjaya dirakamkan pengkaji paranormal ini dikelaskan kepada beberapa bentuk, antaranya Ektoplasma: berbentuk kabus,asap atau wap; Vorteks: berbentuk garisan cahaya yang berterbangan; Orbs: berbentuk cahaya bulat yang berterbangan; Cahaya: berkelip dalam warna kuning kemerahan, putih atau biru dan dengung; dan lembaga Bayangan Hitam: berbentuk bayang.

Manakala kewujudan Jin dan Syaitan, dapat dibuktikan melalui Firman Allah S.W.T didalam Kitab Suci Al-Quran “ Dan AKU tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-KU”. ( Surah Adz-Dzaariyaat, ayat ke 56).

Kajian penyelidik dan kalangan ulama mendapati seperti juga manusia, golongan jin juga terbahagi kepada mereka yang beriman dan kafir. Jin kafir digelar syaitan dan ketua syaitan adalah Iblis Laknatullah. Ibilis dikatakan sudah lama wujud malah lebih awal daripada manusia pertama di dunia ini iaitu Nabi Adam a.s. Pada mulanya, iblis begitu taat kepada Allah S.W.T. tetapi sebaik Nabi Adam a.s diciptakan, ia menderhaka kepada Tuhan. Seterusnya iblis berjanji bahawa ia dan keturunanya (syaitan) akan terus menyesatkan manusia daripada terus taat kepada perintah Allah S.W.T. sehingga ke hari kiamaat. Firman Allah S.W.T: “ Kerana-MU (Allah) menghukum saya (Iblis) tersesat, saya benar-benar akan (menghalangi) mereka(manusia) dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan belakang mereka kanan dan kiri mereka. Dan engkau tidak mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)”. (Al- A’raf: 16-17).

Selaku makhluk alam ghaib, jin boleh menjelma menyerupai bentuk tertentu termasuklah hantu selain ular dan juga anjing hitam. Akan tetapi, seperti juga manusia, mereka perlu mempelajari kaedah untuk membolehkan mereka menjelma. Terdapat pendapat bahawa jin yang menjelma sebagai ular atau anjing hitam akan mati sekiranya haiwan jelamaan itu dibunuh. Hal ini berdasarkan perintah Nabi s.a.w agar membunuh anjing hitam. Jin yang kuat serta memiliki ilmu yang tinggi mampu mendatangkan kecederaan kepada manusia dengan IZIN Allah S.W.T, tetapi manusia yang beriman dan kuat beribadat akan memiliki “Benteng” bagi menghalang tindakan makhluk halus tersebut.
Kalangan Ulama bagaimanapun, berselisih pendapat mengenai cirri-ciri Jin. Ada antara mereka berpendapat bahwa tidak semua jin memiliki satu ciri kehidupan yang sama. Ada antara makhluk halus itu yang dikatakan boleh terbang manakala sebahagian lain sekadar berjalan dan merayap seperti ular. Jin juga berkahwin dan hidup berkeluarga, sama seperti manusia. Ada juga pendapat yang mengatakan jin menggangu manusia kerana manusia memusnahkan habitat mereka. Mengikut teori, sebelum turunnya Nabi Adam dan isterinya Hawa di dunia ini, jin terlebih dahulu mendiami dunia dalam keadaan yang asal iaitu dipenuhi hutan tebal dan alam semula jadi yang tidak terusik. Bagaimanapun, apabila manusia hidup dan mula mencapai ketamadunan, hutan dan alam semulajadi yang menjadi habitat jin itu juga dimusnahkan sedikit demi sedikit untuk membina kota. Disebabkan itulah, apabila sesuatu jin berjaya ditangkap dalam perubatan Islam, makhluk itu akan dibuang ke hutan, sungai atau laut.

Satu kelebihan yang dikurniakan Allah S.W.T kepada golongan jin adalah mereka dapat melihat manusia tetapi manusia tidak dapat melihat mereka. Justeru itu, bagaimana pula keadaannya dengan sesetengah manusia yang mendakwa bahawa mereka terlihat HANTU atau BAL BAL???.

Sebenarnya, bagi manusia , terdapat beberapa keadaan yang membolehkan mereka melihat jin atau Hantu. Antaranya, jin terbabit menjelmakan diri mereka untuk dilihat manusia, manusia terbabit mempelajari ilmu untuk mendampingi dan bersahabat dengan Jin, hijab pandangan manusia itu dibuka oleh Allah S.W.T selain mereka yang sakit....

Read more...

pesanan

Penafian:Penulis blog paikankb tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan, Segala komen atau ulasan, fakta berunsur hasutan yang dialami kerana melayari atau menggunakan maklumat dalam blog ini.

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP