Selasa, 12 Oktober 2010

PERANGAI MONYET PUN KITA NAK TIRU....




Beberapa hari ini isu mengenai tindakan beberapa YB di daerah kota belud yang seakan-akan memboikot kehadiran atau lebih menariknya lagi menolak kepimpinan Datuk Shafie Apdal mendapat liputan yang meluas bahkan peniaga ikan dipasar besar kota belud pun turut menjadi pengkritik yang hebat, masing-masing dengan hujahnya. Daripada blog hingga kepada Facebooknya hampir membincangkan isu yang sama. Di sini saya tidak akan memperincikan isu tersebut kerana saya yakin semua rakan-rakan tahu sebab isu ini ibarat “Pisang Goreng Di Restoran Kotaraya”. Saya terpanggil untuk melontarkan hanya sedikit pendapat yang mungkin tidak sesedap air Kelapa Mawar, tidak sehebat sekali ketuk dan tidak sepetah Murai KB atau juga tidak sebijak Apa yang Tersirat. Biasalah paikan sentiasa lambat tetapi pastinya menjadi juara.....Sekadar membawa kita berfikir....



Jika kita ingat lagi, tahun 2006 layar perak kita digegarkan dengan satu filem kemanusian yang mengangkat nilai-nilai kehidupan kita sebagai manusia iaitu King Kong. Filem ini mendapat tempat dihati masyarakat kita di negara ini, apatah lagi filem ini mendapat sentuhan daripada pelakon terkenal seperti Naomi Watts, Jack Black dan Adrien Brody. Filem ini mengajar kita akan erti kemanusian dalam menghargai makhluk lain ciptaan Tuhan. Namun king kong tetap king kong, ia bukan makhluk yang memiliki akal, perasaan dan sentiasa mahukan kebebasan seperti manusia.



Seorang pengkaji telah membuat permerhatian terhadap 4 ekor monyet. Monyet-monyet ini diletakkan kedalam sangkar dan ditengah-tengah sangkar tersebut digantungkan sebiji pisang tanduk yang ranum. Melihat pisang tersebut monyet-monyet ini keriangan sambil berusaha untuk mendapatkan pisang tersebut, namun setiap kali monyet-monyet mendekati pisang tersebut si pengkaji tadi akan memancutkan air dengan deras ke arah mereka. Walaupun hanya seekor yang mendekati pisang tersebut hakikatnya keempat-empat monyet tersebut terkena tempias pancutan air. Keadaan ini berterusan sehingga semua monyet ini mengerti bahaya mendekati pisang tersebut.



Beberapa lama kemudian seekor monyet dikeluarkan dan digantikkan dengan monyet baru. Monyet baru ini pun mula lah ghairah melihat pisang yang tergantung itu dan mula membuka langkah menghampirinya, namun apa yang terjadi ketiga-tiga ekor monyet segera berteriak sambil menarik monyet baru supaya tidak pergi mendekati pisang itu kerana takut terkena pancutan air. Walaupun agak hairan, namun monyet baru itu akhirnya mengerti bahawa ia tidak boleh mendekati pisang itu. Malah ia turut sama menghalang sekiranya ada monyet yang mendekati pisang itu. Walaupun kini tidak ada semburan air lagi, semenjak cubaan pertama sebelum monyet yang kedua diganti. Apabila pemerhatian diteruskan semua monyet itu tidak tahu mengapa mereka dilarang sebenarnya.



Walaupun kita menolak teori Evolusi Darwin, tanpa kita sedari ramai di antara kita melakukan sesuatu tanpa tahu mengapa perkara itu dilakukan dan mengapa pula ada perkara yang dilarang. Ibubapa yang bijakasana akan memberikan penjelasan terhadap sesuatu perkara kenapa dan mengapa perkara itu dilarang terhadap anak-anak mereka. Manakala pemimpin yang bijaksana lagi arif juga pasti memberikan penjelasan yang diterima akal ke atas sesuatu peraturan hingga seluruh pengikutnya menerima peraturan itu sebagai komitmen.



Ada satu cerita menarik mengenai pokok buluh. Biasanya pokok buluh yang tumbuh lurus akan dipotong untuk dibuat pelbagai benda termasuk dibuat sebagai pagar. Tetapi buluh yang bengkok biasanya dibiarkan begitu sahaja dalam erti kata yang lain dibiarkan hidup dalam kebengkokan. Begitulah kehidupan kita sebagai manusia, mereka yang lurus bendul dan berjalan dilandasan yang betul akan dicantas manakala yang mengikut hawa nafsu dan hidup dalam kebengkokan akan terus disokong dan dipuja. Sayang sekali kerana ramai yang mengamalkan cara kerja sebagai pak turut hanya kerana mahu menyenangkan hati pemimpin atau hanya kerana menjaga periuk, belanga nasi mereka. Bahkan nilai moral turut dilanggar, hanya kerana mahu menyenangkan hati pemimpin, seseorang itu sanggup berhutang membeli kereta besar supaya boleh menjadi driver. Hanya kerana mahu mendekati pemimpin seseorang itu sanggup mengiyakan kata-kata pemimpin tersebut sekali pun terang dan jelas ia nya salah. Demi projek pemimpin itu dianggap seakan-akan malaikat malahan ada yang sanggup menjadi pembancuh kopi di rumah pemimpin tersebut.



Melayan orang lain tidak salah apatahlagi pemimpin, guru, rakan ataupun adik beradik. Tetapi yang menjadi bahayanya apabila “ada udang disebalik mee goreng”. Kita diciptakan dengan akal fikiran agar menilai dan menimbang dorongan emosi. Kematangan dan kehebatan seseorang bukan dinilai betapa kuatnya dia menghentam meja, betapa gagah dia menumbuk seseorang tetapi bagaimana kuatnya dia mengendalikan emosi diri dalam apa jua keadaan. Hakikatnya manusia sentiasa bercakap mengenai kelemahan dan keburukan orang lain daripada kebaikannya terutama menyentuh soal pemimpin, seperti monyet, kadang-kadang manusia begitu juga. Dia menyampaikan maklumat buruk mengenai diri seseorang kepada orang lain tanpa tahu keadaan yang sebenarnya(mengikut sahaja seperti Pak Turut). Kita bukan monyet atau King Kong, bahkan kita diciptakan oleh Allah sebagai makhluk yang memiliki darjat tertinggi di antara semua ciptannya.



Cuba kita renungkan seketika, bagi mengubah sesuatu yang sudah lama bertapak, tentu mereka akan menjawab” Tidak tahu, memang dari dulu pun sudah begitu”. Bagi menegur pemimpin pula, pasti Pak Turutnya menjawab” Kamu tidak hormat pemimpin, tanpa dia kamu siapa, dia lagi tahu soal kepimpinan, dia lagi dahulu makan garam, dia lagi banyak pengalaman, dia lagi dan dia lagi............”. Sehingga kan hendak ditegur pun menjadi sengketa.



C. Neil Strait mengatakan bahawa”Perubahan adalah sesuatu yang sukar dilakukan bagi orang yang biasa hidup secara rutin”.



Read more...

pesanan

Penafian:Penulis blog paikankb tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan, Segala komen atau ulasan, fakta berunsur hasutan yang dialami kerana melayari atau menggunakan maklumat dalam blog ini.

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP