Sabtu, 9 Oktober 2010

HEBATNYA DIRI KITA




Pada zaman dahulu, ada seorang guru yang bijaksana membuka sekolah di puncak sebuah gunung. Dikaki gunung tersebut terbentang luas sawah padi dan perkampungan yang cukup mendamaikan. Sekolah ini unik kerana para penuntutnya diajar tentang”Bagaimana Setiap Orang Mahu Hidup Yang Lebih Baik”. Para penuntut yang tamat pengajian akan diminta menyampaikan kebenaran tentang kehidupan kepada orang kampung pula.



Dalam ramai penuntut guru tersebut, terdapat seorang penuntut yang cerdas pemikirannya, kuat iltizamnya, memiliki intergriti yang tinggi namun sayangnya penuntut tersebut GAGAP. Menyedari kelemahan yang ada pada dirinya ini, penuntut tersebut mulai rasa rendah diri. Penuntut tersebut tidak yakin pada potensi dirinya. Lantaran itu, apabila penuntut itu di minta oleh guru tersebut untuk menyampaikan kebenaran berkenaan kehidupan kepada penduduk kampung, penuntut tersebut berkata kepada gurunya,”Tuan guru yang saya kasihi, terima kasih kerana memandang tinggi atas kebolehan saya turun ke desa menyampaikan kebenaran ini. Seperti yang tuan tahu, saya ini gagap, tentu tuan tidak mahu saya dijadikan bahan ketawa orang lain”.



Sambail tersenyum, guru itu meminta pemuda itu menulis tentang apa yang dia akan rasa semasa guru memberikan sesuatu ke mulutnya. Pertama sekali guru tersebut memberikan sepotong mangga yang masam ke dalam mulut pemuda itu, dia menulis MASAM. Kemudian guru itu memberikan pula sepotong betik yang manis, lalu menulisnya MANIS. Dengan renungan yang tajam guru tersebut mengajak pula pemuda itu memerhatikan tingkah laku burung Nuri. Guru tersebut memberikan burung Nuri itu sepotong mangga, Nuri itu pun berteriak, MASAM....MASAM....Kemudian guru itu memberikan Nuri sepotong buah betik pula, Nuri itu berteriak, MASAM....MASAM....



Lalu Guru itu pun berkata “kebenaran bukanlah sesuatu yang perlu dihafal dan diucapkan sahaja. Kebenaran itu adalah perkara yang diyakini benar dan tidak melanggar suruhan Tuhan. Seseorang lebih mempercayai kebenaran melalui tingkahlaku daripada kata-kata yang indah”.



Parlindungan Marpaung, dalam bukunya Mencari Makna Hidup menyatakan dalam tulisan beliau mengenai proses kejadian manusia yang begitu indah dan menarik. Bagi mensenyawakan sebiji telur, satu sel sperma perlu menewaskan jutaan sel sperma yang lain dan hanya yang berani....dan bijak mencari peluang akan menjaadi pemenangnya, iaitu kita seperti sekarang ini. Secara fizikalnya, tubuh badan kita ini sebenarnya ditopang oleh 200 batang tulang yang dipahat cantik lagi unik, 500 otot dengan ribuan juta otot dan serat saraf yang panjangnya kira-kira 11 kilometer,saling berhubung dengan baik tanpa ada pertindihan tugas. Hebatnya kuasa Allah, ini tidak termasuk lagi denyutan jantung ,manusia sebanyak 100 ribu kali sehari, mengepam 25 ribu liter darah sehari, mata kita pula boleh membezakan 10 juta warna, panjang pembuluh darah mencapai 100 ribu Kilometer .



Selain itu, dalam tempoh 24 jam bagi orang normal, jantung kita berdenyutbbsebanyak 103,689 kali, darah menempuh perjalanan sepanjang 168,000,000 batu, bernafas sebanyak 23,040 kali, menelan 1..5 kilogram makanan dan minum 3.5 liter air, berkata-kata sebanyak 25, 000 perkataan, mengerakkan 750 otot, kuku tumbuh sepanjang 0.00012 sentimeter dan rambut tumbuh sepanjang 0.94353 sentimeter. Lebih menakjubkan lagi kesemua ini dikawal oleh sebuah organ yang besarnya hanya sebesar sekepal tangan dengan berat lebih kurang 1.5 kilogram iaitu OTAK.



Begitulah ajaibnya manusia sehingga tidak ada seorang pun yang layak atau berhak berasa sombong kerana semua yang dimilikinya hanyalah anugerah Tuhan. Lantaran itu juga lah kita tidak berhak mengatakan bahawa kita lagi hebat berbanding orang lain. Atas tiket kita Berjaya dalam bidang yang kita ceburi. Kadang-kadang kita terlupa bahawa semua itu anugerah dari Allah. Sikap memandang sebelah mata akan keupayaan orang lain juga suatu tindakan yang tidak boleh diterima akal yang waras. Kita perlu ingat bahawa kita bernasib baik kerana diberikan peluang HIDUP lebih awal berbanding orang lain. Kita hanya dibezakan oleh pengalaman dan cara berfikir. Andai peluang yang diberikan sama dikalangan manusia mungkin akan lahir lebih ramai pemimpin yang terbilang. Usahlah kita sombong dan angkuh dengan mengatakan bahawa segala kejayaan yang kita kecapi kini hasil kerja keras kita sendirian..hakikatnya kita tetap mendapat bantuan atau pertolongan andai bukan sesama hamba Allah mungkin daripada Khalik yakini Allah.



Rasanya tidak layak mengatakan yang manusia memiliki potensi diri yang tidak terbatas sebab hanya kuasa Tuhan sahaja yang tidak terbatas. Semasa Tuhan hendak menghentikan nyawa seseorang manusia itu, segala kelebihan manusia menjadi terbatas dan tidak berguna sama sekali. Namun apa yang penting adalah bagaimana manusia berusaha saban hari dengan sepenuh jiwa raga mengoptimumkan potensi yang ada. Ada kalanya manusia perlu melupakan sejenak kelebihan dirinya...manusia atau pemimpin perlu menerima hakikat bahawa dia seorang manusia yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Pemimpin yang baik akan sentiasa memastikan bahawa pengikutnya sentiasa berada dalam landasan kebaikkan. Segala kritikan harus diterima dengan positif, andai dalam dunia bisnes pelanggan semestinya betul, rasanya dalam dunia kepimpinan pengikut pun semestinya betul. Sebabnya bukan keseluruhan pengikut tersebut bodoh belaka....



Mulai saat ini, sentiasa positif dan berbuat baik. Hentikan keluh kesah, usahakan supaya sentiasa bersyukur serta renungkan kelebihan dan kekurangan diri. Apabila sering mengucapkan syukur dan merenung makna kehidupan, kita semakin menyedari betapa sebenarnya setiap insan berharga dan istimewa di mata Tuhan yang maha pencipta bagi menjalankan kebaikan sesama manusia. Zig Ziglar, pakar motivasi tersohor berkata” Jika anda kecewa dan merungut pada diri sendiri dengan segala kekurangan yang ada pada dirimu, pergilah kepada arketik yang merancang dan mencipta dirimu itu”.

Read more...

pesanan

Penafian:Penulis blog paikankb tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan, Segala komen atau ulasan, fakta berunsur hasutan yang dialami kerana melayari atau menggunakan maklumat dalam blog ini.

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP