Rabu, 2 Disember 2009

POLITIK WANG DAN KEPIMPINAN


Suasana politik orang kita sekarang boleh dikatakan berada dalam satu keadaan yang menyedihkan dan memalukan serta memualkan. Amalan politik wang yang hebat diperkatakan dewasa ini bukan sahaja memberi satu gambaran buruk tentang cara orang kita berpolitik dalam menerajui kepimpinan negara, malah ia turut meninggalkan satu noda hitam ke atas kesucian agama Islam yang menjadi pegangan hidup kita. Dalam pemilihan bahagian UMNO Kota Belud beberapa bulan yang lepas, kita terus disajikan isu berkaitan dengan politik wang yang bukan sahaja daripada posting rakan bloger bahkan juga perbincangan empat mata di kedai-kedai kopi.


Apa yang berlaku dalam dunia politik sekarang menggambarkan bahawa dorongan utama para pemimpin kita pada hari ini bukan untuk memperjuangkan kepentingan bangsa tetapi lebih kepada perjuangan untuk mengambil kesempatan dalam kesempitan bagi kepentingan peribadi. Maruah agama dan kepentingan kaum sendiri sudah tidak lagi menjadi keutamaan mereka. Dalam kehidupan sekarang, pangkat dan kuasa menjadi suatu asas utama untuk mencapai matlamat yang seterusnya. Dengan kata lain, kedua-duanya boleh menjadi kunci kepada pintu kekuasaan dan kekayaan yang lebih besar. Jadi penggunaan wang untuk meraih sokongan di peringkat akar umbi dilihat sebagai satu bentuk "pelaburan awal" ke arah mencapai matlamat tersebut.

Sesebuah negara memerlukan pemimpin yang berintegriti. Pemimpin yang rasuah akan hanya menyebabkan pentadbiran negara menjadi lemah dan ini akan mendedah negara tadi kepada ancaman luar. Ini kerana pemimpin yang dipilih tadi diangkat ke jawatan atas dasar wang rasuah dan bukan berasaskan kepada keupayaan dan kewibawaannya. Berlainan dengan pemimpin pada zaman awal Islam. Saidina Umar al-Khattab sebagai contoh merupakan memang seorang yang sangat berwibawa yang meletakkan kepentingan negara lebih daripada kepentingan diri dan keluarganya.Beliau pernah ditawarkan kenaikan perbelanjaan sara diri tetapi menolak tawaran tadi walaupun pada dasarnya dia berhak untuk menerima atas alasan hak dia adalah sama dengan rakyat biasa. Apa yang membezakan beliau dengan rakyat kebanyakan hanyalah dari segi tanggungjawab di mana beliau mempunyai lebih tanggungjawab terhadap negara berbanding rakyat biasa. Bagaimanapun ciri yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar al-Khattab ini sukar untuk diperhatikan pada pemimpin sekarang. Tanggapan segelintir pemimpin sekarang, kemampuan merebut jawatan akan membuka lebih ruang kepada keupayaan menggandakan peluang keduniaan yang ada.

Islam menganggap kepimpinan atau tugas memimpin itu adalah sebagai satu amanah. Oleh itu jawatan pemimpin bukanlah satu kedudukan yang boleh dianggap istimewa atau perlu direbut-rebut. Inilah yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w kepada Abu Zar r.a semasa beliau meminta baginda Rasulullah melantiknya untuk suatu jawatan : Sesungguhnya kepimpinan itu adalah satu amanah, yang pada hari akhirat kelak dipertanggungjawabkan dengan risiko kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi mereka yang memenuhi syarat dan dapat melaksanakan tugas yang dibebankan kepadanya dengan baik. (hadis riwayat Imam Muslim)

Pemimpin yang berintegriti berkeupayaan untuk mewujudkan satu ummah yang cemerlang. Contoh teladan yang baik yang ditunjukkan oleh para pemimpin akan menjadi ikutan dan amalan orang yang dipimpin. Dalam bab kepimpinan ini, Saidina Umar Al-Khattab pernah mengumpamakan sesebuah bangsa itu sebagai unta yang kesakitan hidung yang akan mengikut arahan gembalanya. Jadi si gembala perlu berhati-hati ke arah mana patut dipandu. Justeru adalah sangat beruntung bangsa tadi jika pemimpin mereka mengikut jalan yang benar.

Sesungguhnya untuk menyelesaikan masalah politik wang, kita memerlukan satu keazaman politik (political will). Apalah maknanya jika kita heboh memperkatakan tentang rasuah politik sedangkan tiada usaha yang bersungguh-sungguh dalam diri setiap rakyat dan pemimpin untuk menghapuskan amalan ini daripada terus berleluasa. Ketiadaan keazaman politik untuk mengekang masalah politik wang akan menyebabkan urusan kepimpinan bangsa dan agama akan diterajui oleh mereka yang tidak berkelayakan dan berwibawa. Jika ini terus berlaku maka kita seharusnya bersedia menanti apa yang disebut oleh nabi s.a.w di dalam hadisnya yang bermaksud : Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.

Read more...

pesanan

Penafian:Penulis blog paikankb tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan, Segala komen atau ulasan, fakta berunsur hasutan yang dialami kerana melayari atau menggunakan maklumat dalam blog ini.

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP