Ahad, 29 November 2009

BILA SEMUANYA BICARA SOAL POLITIK


Masyarakat kita kini mulai sedar dan berfikir mengenai politik dan kesannya kepada masyarakat dan Negara. Apa tidaknya, lihat sahaja di mana-mana pasti topiknya soal politik. Tidak kira terpelajar ataupun tidak terpelajar, hakikatnya politik pasti topik utama. Yang terpelajar bercerita pasal politik tidak mengapa lah, tapi bagi yang tidak terpelajar membicarakan soal politik ibarat ketam mengajar anaknya berjalan. Di sini posting saya kali ini sebenarnya bukan memperkecil-kecil atau jauh sekali menghina khalayak yang tergolong dalam kelompok “Mereka yang tidak terpelajar” dalam membincangkan soal politik. Sumbangan kelompok ini turut tidak dipertikaikan, namun biarlah kita berdiri atau berpijak dibumi yang nyata.

Seorang Doktor pasti akan berasa pelik apabila diminta mengajar untuk subjek Muzik, atau seorang mekanik kereta diminta menjadi pakar bahasa (walaupun sekarang dunia semakin moden, tidak semestinya kita boleh melakukan semua perkara) pasti pekerjaan yang diberikan tidak dapat dilakukan dan andai pun berjaya dilakukan kemungkinan besar hasilnya tidak memenuhi piawaian sebenar pendek kata tidak mengikut spesifikasi SIRIM. Maka itulah kita bercakap apabila perlu sahaja, bercakap apabila kita benar-benar tahu dan faham akan persoalan dan perbincangan yang hendak disampaikan. Namun semua ini ibarat mencurahkan air kedaun keladi, masyarakat kita cukup hebat kerana boleh bercakap apa sahaja, sama ada benar atau tidak itu belakang kira (Berpegang Kepada Istilah demokrasi terpimpin) asalkan dapat bercakap. Saya amat tertarik dengan penulisan saudara Dr. Mohd Ridhuan Tee, Pensyarah Kanan, Unversiti Pertahanan Nasional, Malaysia yang diterbitkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia yang bertajuk “Kita akan Kalah jika terus mengalah”. Dalam penulisan beliau itu, saya amat bersetuju dengan pendapat beliau yang menyatakan “Saya menyeru supaya kita jangan terlalu berpolitik. Masa dan wang ringgit banyak dihabis untuk menewaskan sesama sendiri . Malangnya, kita tidak hanya berpolitik dalam politik, tetapi dalam bidang lain pun berpolitik juga. Pendek kata, dalam bidang apapun diperkatakan, Umat Islam kita berpolitik. Politik yang merugikan dan melemahkan”.


Nah...! kita lihat dalam kelompok atau masyarakat kita di daerah Kota Belud amnya, daripada pasar ikan, perhentian bas, restoran, masjid, kedai runcit, sawah padi, laut semuanya membicarakan soal politik. Saya bukan mengatakan berpolitik itu tidak perlu atau tidak penting, tetapi biarlah kita bercakap “apabila perlu” sahaja. Jimat masa dan tenaga. Mencarut dan memfitnah pun pasti terhindar. Tuduh sana, tuduh sini akhirnya dosa juga kita dapat, pahalanya entah kemana. Namun dalam masa yang sama saya secara ikhlasnya berasa bangga dengan perkembangan masyarakat kota belud, kerana ramai yang mulai peka terhadap permasalahan masyarakat setempat. Para cendikiawan dan bijak pandai masyarakat kita mulai bersatu dalam memperjuangkan hak sebenar rakyat. Walaupun melalui kuasa maya namun impak maksimanya cukup membuatkan para pemimpin kecut perut. Melihat keadaan pemimpin sekarang, adalah tidak keterlaluan ibarat cacing yang sedang kepanasan. Bukan sahaja segala kelemahan dituturkan bahkan sejarah dan kes lama turut dibangkitkan. Hasilnya ini bukan sahaja kelompok masyarakat kita yang membaca dan menilainya, bahkan seeluruh dunia boleh membaca dan menilainya.


Berbalik kepada sikap masyarakat kita yang suka berpolitik, sehinggakan dalam penulisan saudara Azrone, memberi kiasan “mengenai kehebatan seorang office boy” dalam merancakkan kepolitikkan didaerah kota Belud. Bukan itu sahaja, driver pun turut ingin menjadi hero dalam dunia kepolitkkan ini. Malahan hebatnya aura politik ini sehinggakan jawatan boleh diberikan kepada yang langsung tidak layak. Lihat sahaja di dalam organisasi MDKB dan pejabat Daerah, difahamkan hampir separuh kakitangannya adalah lantikan melalui kuasa politik. Akhirnya, kesan kepada masyarakat kita, anda mungkin sudah merasa dan andai yang belum mencubanya sila lah cuba berurusan dengan jabatan penting di daerah kota belud ini, pasti anda akan mengingatinya hingga keakhir hayat. Inilah masalah bila kita terus-terusan berpolitik, bercakap lah “Apabila perlu” sahaja. Kita bernasib baik kerana hari ini kita menjadi pengguna teknologi, bukan pencipta. Sekurang-kurangnya kita punyai masa dan waktu untuk memikirkan ke mana hala tuju masyarakat kita. Bagi yang bukan terpelajar tetapi “Bijak” pandai, fikirkan lah sumbangan kepada Negara, masyarakat selain berbicara soal politik.

Read more...

pesanan

Penafian:Penulis blog paikankb tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan, Segala komen atau ulasan, fakta berunsur hasutan yang dialami kerana melayari atau menggunakan maklumat dalam blog ini.

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP