Ahad, 7 Jun 2009

CHIN PENG: PERDAMAIAN TELAH DIRAIH TETAPI DENDAM LAMA TERUS MEMBARA...

Bagi generasi muda,nama Pemimipin Tertinggi Parti Komunis Malaya(PKM), Chen Chin Seng atau Chin Ping mungkin sudah dilupakan. Walapun gerakan PKM menentang kerajaan di pelajari dalam subjek sejarah di sekolah-sekolah tetapi nama itu dek luput ditelan waktu. Chin Peng yang kini berusia 84 tahun sebenarnya mempunyai kelebihanya tersendiri (Bukan memuja sekadar membawa kita berfikir sejenak). Dalam usia emas, pemimpin PKM itu masih mampu hidup sihat walaupun dalam sebahagian hayatnya dia menjadi buruan pasukan keselamatan British dan Malaysia. Dia kini menghabiskan sisa-sisa hidupnya di sebuah perkampungan di Yala, selatan Thailand setelah beliau dan rakan-rakan seperjuangan seperti Abdullah C.D dan Rashid Maidin meletakkan senjata dan mengakhiri perjuangan komunis. Chin Peng dan rakan-rakannya meletakkan senjata menerusi satu perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia yang ditandatangani di Hatyai pada tahun 1989.


Walaupun perjuangan PKM sudah berakhir tetapi mengikut perjanjian itu pemimpin-pemimpin tertinggi PKM tidak dibenarkan pulang ke tanah air. Mereka diberikan sebuah kawasan kediaman oleh kerajaan Thailand untuk meneruskan sisa-sisa hidup mereka. Perkampungan itu yang terletak di selatan Thailand sebenarnya adalah pangkalan terakhir PKM setelah mereka melarikan diri daripada buruan pihak keselamatan Malaysia sekitar tahun 1970-an. Akhir-akhir ini kita sekali lagi dikejutkan dengan pelbagai kenyataan yang menjurus kepada PKM, apakah PKM mula bertapak dibumi bertuah ini atau masih ada lagikah golongan yang “memuja” Ideologi Komunis di Negara tercinta kita ini???. “Jangan biarkan Chin Peng jejak kaki di Negara ini, dia tidak layak pijak bumi bertuah ini”. Begitulah luahan lima bekas anggota Komando Regimen 21 Kem Sungai Udang, (Utusan Malaysia, Jumaat 5 Jun 2009). Melihat kepada permasalahan ini, terdetik dihati saya untuk merungkai akan sebenar kenyataan-kenyataan ini dikeluarkan dan berharap agar ia menjadi rujukan untuk kita sama-sama fikirkan apa yang terbaik untuk Negara tercinta kita ini. Ingatlah bahawa tidak ada sikap ingin memuja atau menyokong ideologi Komunis yang seterusnya mengangkat “Chin Peng” sebagai hero. Tulisan ini sekadar untuk renungan kita bersama dan berharap segala pendapat atau idea yang cuba digarapkan ini membuka “mata” minda generasi baru mengenai PKM.

Kenyataan sesetengah pihak yang menuntut agar Chin Peng diberi kebenaran untuk kembali ke Malaysia merupakan punca utama pelbagai kenyataan ini dikeluarkan oleh pihak-pihak yang pernah merasai akan keperitan menentang PKM ketika masa dulu. Selain itu, wujudnya blog-blog yang menceritakan kisah perjuangan PKM ini turut menyumbang kepada permasalahan yang akhirnya “luka lama berdarah kembali”. Isu ini kembali hangat setelah menyepi beberapa tahun yang lalu atas permohonan yang sama oleh Chin Peng. Terdapat bantahan hebat daripada beberapa persatuan terutamanya Persatuan Bekas Perajurit (PBPM) dan Persatuaan Bekas Polis (PBP). Bagi kedua-dua persatuan itu, kepulangan Pemimpin PKM tersebut tentunya akan menghiris perasaan bekas-bekas anggota pasukan keselamatan dan ahli keluarga mereka yang hidup menderita angkara gerakan komunis suatu ketika dahulu.

Berdasarkan kepada buku Chin Peng bertajuk My Side Of History yang diterbitkan oleh select Book Singapura beberapa tahun yang lalu, tidak dapat dinafikan Chin Peng masih percaya dengan ideologi yang diperjuangkannya selama ini dan juga merupakan ahli dan ketua kepada PKM yang diharamkan. Atas aspek ini, kerajaan masih lagi mempunyai kuasa untuk menahan beliau kerana menganggotai dan mengetuai pertubuhan yang diharamkan sejak sekian lama. Walaupun dalam perjanjian Damai Hatyai kerajaan Malaysia bersedia mengampunkan ahli-ahli PKM, pengampunan tersebut adalah bersyarat. Mereka hanya diampunkan jika mereka bersedia untuk menguburkan ideologi komunisme mereka dan membubarkan PKM. Tetapi syarat itu tidak diterima oleh ahli-ahli PKM ini.

Merujuk kepada pertemuan ahli penyelidik Malaysia dengan para bekas ahli PKM ini, mereka nampaknya masih lagi mempunyai perasaan yang menebal mengenai ideologi dan perjuangan PKM. Hanya kerana diri yang semakin dimamah usia, maka mereka sudah tidak lagi berupaya untuk mengangkat senjata dan memperjuangkan cita-cita mereka, (Dr. Kamarulnizam Abdullah, Pensyarah Pusat Pengajian Strategik,UKM).


Apakah kerajaan dan rakyat Malaysia harus melupakan segala kekejaman yang di lakukan oleh Chin Peng dan sekutunya???. Adakah seorang yang telah melakukan jenayah berat dengan membunuh beribu-ribu nyawa yang tidak berdosa dibiarkan bebas hanya kerana beliau insaf, sudah tua dan ingin kembali kepangkal jalan???. Jika perkara ini mendasari pemikiran rakyat dan kerajaan Malaysia, maka mereka yang melakukan jenayah berat dengan hanya membunuh seorang sahaja harus juga diberi peluang tanpa diberi hukuman yang berat. Tetapi, ingatlah bahawa rakyat kita juga mempunyai hak bagi menuntut Chin Peng dibawa kemuka pengadilan di atas segala kekejaman yang telah dilakukannya antara tahun 1950-an dan 1970-an dahulu. Atas alasan itu jugalah kebanyakkan ahli-ahli PKM mengambil keputusan untuk menetap di selatan Thailand daripada kembali semula ke Malaysia kerana takut menghadapi desakan rakyat Malaysia untuk mereka dibicarakan. Persoalan seterusnya, adakah rakyat dan kerajaan Malaysia bersedia melupakan trauma yang melanda pada masa lalu dan membiarkan sejarah menentukan segala-galanya. Dalam erti kata lain, rakyat Malaysia sudah matang untuk sama ada menerima atau menghukum seseorang berdasarkan kepada sejarah yang ada. Biarkan mereka menentukan dengan adil implikasi yang akan dihadapi oleh Chin Peng jika beliau dibenarkan pulang ke Malaysia.


Bekas ketua Pengarang akhbar Utusan Melayu, Said Zahari yang merupakan seorang sosialis ketika diminta mengulas isu hasrat kepulangan Chin Peng beberapa tahun yang lalu berpendapat pemimpin PKM itu seharusnya diberikan peluang untuk melawat ahli keluarganya. Jika dia ingin mengakhiri riwayat hidup di tanah air kelahirannya, dia patut dibenarkan. Sebagai umat Islam sejati kita sepatutnya mempunyai perasaan pemaaf. Benarlah sekiranya di ambil kira kesan penentangan komunis, sukar untuk kita memaafkan Chin Peng dan rakan-rakannya yang lain seperti Rashid Maidin dan Abdullah C.D. Namun, bekas-bekas perajurit dan polis harus melapangkan dada dan berfikiran terbuka. Perang terhadap komunis telah lama berakhir. Jika Nabi Muhammad s.a.w sanggup memaafkan musuh-musuhnya termasuk orang-orang Yahudi yang ingin membunuhnya, bekas-bekas polis dan tentera patut mengambil contoh sikap nabi. Secara logikalnya, dengan mengambil sikap pemaaf terutamanya terhadap musuh-musuh yang sangat dibenci, itu akan mengangkat martabat orang Islam dan mereka akan lebih di hormati. Lagipun Chin Peng bukan lagi menjadi ancaman keselamatan Negara. Chin Peng pada dasarnya kini menyedari pertubuhanya kini tidak lagi releven kerana kerajaan yang dipilih oleh rakyat berjaya membawa kemakmuran dan kesejahteraan. Melihat pembangunan Malaysia kini, Chin Peng sendiri mengakuinya walaupun dia masih tebal dengan fahaman sosialisnya.

Apabila kita menjadi pemaaf terutamanya kepada musuh-musuh kita yang tidak lagi menentang kita, jiwa kita akan tenang, tenteram dan menjadikan kita lebih insaf. Berdasarkan semangat perjanjian antara PKM dengan kerajaan Malaysia yang ditandatangani di Hatyai 1989, Chin Peng sewajarnya dibenarkan pulang. Jika Abdullah C.D dan Rahsid Maidin dibenarkan melawat saudara mereka di Perak sewaktu singgah dalam perjalanan untuk mengerjakan haji beberapa tahun yang lalu, kenapa Chin Peng tidak boleh dibenarkan pulang???.
Walau bagaimanapun, sejarah perlu dijadikan pengajaran dan teladan supaya ia tidak berulang lagi. Daripada sejarah manusia belajar tentang kesilapan supaya tidak mengulanginya lagi di masa depan. Kadang kala hukuman itu perlu untuk mengatasi sesuatu masalah, tetapi kita harus ingat juga bahawa memberi kemaafan kepada sesiapa itu merupakan tuntutan dalam kita beragama.....BERSAMA KITA FIKIRKAN.....

Read more...

pesanan

Penafian:Penulis blog paikankb tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan, Segala komen atau ulasan, fakta berunsur hasutan yang dialami kerana melayari atau menggunakan maklumat dalam blog ini.

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP