Selasa, 2 Jun 2009

ISLAM DAN POLITIK

Mengaplikasikan politik sabagai satu wadah perjuangan adalah amalan yang bukan sahaja berlaku pada zaman ini, malah ia sudah bermula sejak di zaman awal pemerintahan Islam. sekalipun banyak beranggapan bahawa Rasulullah s.a.w tidak berpolitik, namun sistem pemerintahan yang dijalankan menunjukan bahawa baginda adalah seorang pemimpin yang telah menjadikan politik sebagai satu landasan ke arah penyatuaan ummah. Bagaimanapun, perbedaan yang wujud di antara kepolitikan zaman Rasulullah dengan kepolitikan zaman kini jelas ketara. kini unsur-unsur kepartian telah memainkan peranan mengucar-ngacirkan keadaan sehingga membawa kepada perpecahan, permusuhan dan pertelingkahan sesama sendiri.
Lebih malang lagi apabila Islam itu dipolitikan atas kepentingan tertentu sehingga mengakibatkan berlakunya perbuatan mengkafir, mencemuh, mencaci, bahkan sehingga menuduh murtad orang islam yang telah jelas kalimah syahadahnya yang mengaku bahawa Allah adalah Tuhan yang satu Muhammad itu pesuruh Allah. Elemen-elemen seumpama ini bukan sahaja mendatangkan kemudaratan kepada Umat Islam bahkan masyarakat melihat ia sebagai bibit-bibit yang boleh membawa kepada unsur " pengkhianatan " dalam menjalankan syariat Islam.
Sejauh mana unsur-unsur pengkhianatan agama itu berlaku?. Ia sedikit sebanyak turut terpengaruh dengan cara seseorang itu menginterpretasikan Islam itu sendiri. Ada yang beranggapan bahawa Islam hanya yang berkaitan dengan soal hukum dan ibadah semata-mata yang akhirnya membawa kepada kejumudan umat Islam. sedangkan tafsiran Islam itu amat luas hatta meliputi soal-soal muamalah, perhubungan sesama manusia, politik, kepimpinan, akhlak, selain daripada persoalan-persoalan pokok seperti akidah dan ibadah yang sememangya menjadi tuntutan fardu ain ke atas semua umat Islam.
Keterbukaan dalam menerima apa jua pembaharuan yang berlandaskan kepada konsep pembangunan tidak boleh ditolak mentah-mentah. sesuai sifat kesyumulan Islam, Islam harus disesuaikan dengan perubahan zaman yang menuntut keterbukaan minda namun tidak sampai membelakangkan prinsip-prinsip Islam. walaupun tidak berdiri atas nama "Islam", setiap pembangunan yang mendatangkan kemanfaatan kepada masyarakat sejagat harus diterima bersesuaian dengan konsep Islam itu sendiri iaitu Islam bukanlah agama yang menyusahkan sebaliknya memudahkan.
Sekalipun urusan politik yang berjalan di negara ini tidak diletakkan atas nama Islam, namun pengurusanya yang telah membawa kepada pembangunan manusia tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang menyalahi syariat. Bahkan selagi Islam itu tidak diabaikan sebagai satu pegangan bagi sebuah negara yang merdeka dan yang mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa, maka masyarakat tidak harus meletakkannya dalam konteks negara yang melanggar prinsip-prinsip Islam. Di Malaysia, politik kita menggunakan kaedah demokrasi dan ia sememangnya satu sistem politik yang disarankan oleh Islam. Politik Islam secara umumnya boleh ditakrifkan sebagai "satu sistem pengurusan manusia yang berlandaskan akidah, syariah dan akhlak Islam". Soal politik adalah soal pengurusan dan soal keyakinan di mana seseorang itu yakin bahawa negara ini adalah kepunyaanya. Oleh itu, konsep perkongsian kuasa bukanlah suatu amalan yang menyalahi dasar-dasar Islam.
Dalam konteks agama, kita disuruh berpolitik agar masyarakat dapat diuruskan dengan cara yang terbaik. tetapi masalah timbul apabila wujudnya politik kepartian yang membawa kepada perpecahan."Mindset" orang melayu amnya dan masyarakat Kaum Iranun khususnya haruslah diubah. Berpolitik bukan untuk berkelahi tetapi untuk mentadbir. Begitulah juga berpoligami bukanya untuk berkelahi. Tetapi apabila unsur-unsur negatif sudah tertanam dalam pemikiran, maka setiap perbezaan pendapat dan pandangan sukar diterima dengan pemikiran terbuka.
Ulama terkemuka Abu A'la Al-Maududi dalam perbahasanya mengenai politik Islam menyifatkan dalam memahami konsep poltitk Islam, ia tidak harus difahami dengan hanya berlandaskan kepada nafsu dan minat golongan yang mendefinisikannya. Ini kerana ia akan membawa kepada penyesatan manusia yang turut didorong oleh faktor untuk mengekalkan kekuasaan demi mencari pangkat, kekayaan dan sebagainya. Bagi al-Maududi, Islam adalah satu adunan daripada beraneka idea yang tidak ada kaitan di antara satu sama lain bahkan merupakan satu sistem yang mempunyai prinsip-prinsip yang tetap. Dalam hubungan ini, prinsip utama Islam ialah tauhid kerana itulah risalah yang dibawa oleh setiap nabi dan rasul.
Mewujudkan sebuah negara yang aman adalah satu kerahmatan dan turut mewujudkan prospek yang begitu luas. Oleh itu politik haruslah dilihat secara fleksibel dan anjal asalkan ia dapat menekankan aspek-aspek pembangunan dan kesejahteraan manusia. Bagi rakyat yang berada di dalam sebuah negara yang menjalankan prinsip-prinsip Islam, mereka perlu meletakkan taat setia kepada pucuk pimpinan di samping menjalankan tugas yang diamanahkan oleh pemerintah dengan jujur dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Malah Mereka juga diminta bertanggungjawab dan memberikan kerjasama kepada pemerintah ketika berhadapan dengan ancaman baik dari dalam mahupun luar negara.
Dalam hubungan ini, meletakkan prinsip-prinsip Islam sebagai wadah perjuangan politik tanpa mengabaikan kepentingan dan kesejahteran rakyat adalah satu tuntutan. Berpolitik bagi memastikan dasar-dasar pemerintahan berjalan dengan lancar disamping memastikan rakyat mendapat hak yang sewajarnya adalah tanggungjawab bagi setiap PEMIMPIN.

1 comments:

Tanpa Nama,  3 Jun 2009 pada 10:26 PG  

Artikel yang bagus. Cuma penyelitan Kaum khasnya Irranun, nampak gaya kurang mengena. Sifat Irranun, tidak demikian. Sabahkita-ii.blogspot.com memuji tulisan saudara. Selamat menulis

Catat Ulasan

pesanan

Penafian:Penulis blog paikankb tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan, Segala komen atau ulasan, fakta berunsur hasutan yang dialami kerana melayari atau menggunakan maklumat dalam blog ini.

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP