Sabtu, 23 Mei 2009

KONSEP ASAS PENGLIBATAN IBU BAPA DALAM PENDIDIKAN PRASEKOLAH

Penglibatan ibu bapa merupakan aspek penting dalam pendidikan prasekolah. Ibu bapa adalah orang yang pertama mendidik anak-anak sebelum masuk ke prasekolah. Oleh itu adalah wajar jika ibu bapa meneruskan penglibatan mereka untuk sama-sama mendidik anak-anak di prasekolah. Penglibatan ibubapa dalam pendidikan mempunyai kesan yang positif kepada anak-anak. Anak-anak akan merasakan pembelajaran bukan sahaja diperolehi daripada guru di sekolah tetapi juga akan berterusan sehingga di rumah.


Guru pula akan dapat mengembangkan peranan professional mereka sebagai pemudahcara pembelajaran kepada ibu bapa dan komuniti. Ibu bapa sebaliknya pula boleh menambah pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk membantu pembelajaran anak mereka melalui taklimat dan perkongsian ilmu daripada guru. Pendek kata, ibu bapalah yang banyak menyokong perkembangan bahasa, sosial dan akademik anak-anak mereka.


Peranan ibu bapa dalam usaha untuk mempertingkatkan potensi anak mereka boleh diwujudkan melalui konsep keibubapaan berkesan atau “effective parenting”. Konsep ini bertujuan untuk mencorakkan perwatakan atau personaliti si anak itu supaya ciri-ciri tingkah laku yang ditunjukkanya adalah baik dan sesuai dengan kehendak ibu bapa, keluarga, masyarakat dan negara.


Kajian oleh Rutter et al. (1970) melihat peningkatan hubungan di antara faktor-faktor yang berkaitan dengan keluarga terhadap pencapaian literasi kanak-kanak. Ini menunjukkan penglibatan ibu bapa dan keluarga amat penting dalam menentukan pencapaian kanak-kanak di sekolah.

Ibu bapa merupakan sebaik-baik contoh kepada anak-anak. Mereka perlu sentiasa menarik perhatian anak mereka kepada perwatakan dan tingkah laku yang baik agar si anak dapat menjiwakannya. Dasar kependudukan baru negara menekankan kewujudkan satu generasi yang sihat, dinamik, produktif serta mempunyai nilai-nilai hidup dan moral yang tinggi. Negara memerlukan tenaga kerja yang mahir dan berfikiran positif.

Ibu bapa mestilah mempunyai pengetahuan tentang perkembangan kanak -kanak, strategi pendidikan dan strategi pengubahsuaian tingkah laku supaya dapat mempengaruhi dan mencorakkan perkembangan anak mereka sepertimana yang dicita-citakan. Faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan dan tingkah laku seseorang kanak-kanak itu bolehlah dibahagikan kepada dua, iaitu faktor persekitaran luar dan faktor dalam diri si anak itu sendiri. Persekitaran luar merangkumi suasana di mana si anak diasuh dan berkait rapat dengan faktor -faktor seperti taraf sosio-ekonomi, budaya serta hubungan dengan adik -beradik serta kawan -kawan di sekelilingnya, peralatan di rumah atau di sekolah dan media massa.

Faktor dalam diri sendiri termasuklah taraf kesihatan, taraf pemakanan pengamatan atau persepsinya terhadap dunia luar, pengamatan terhadap diri sendiri (sama ada dia berasa rendah diri atau sebaliknya ), dan ciri-ciri serta bakat semula jadinya yang sedikit sebanyak terdapat dalam baka yang diwarisinya. Setiap komponen yang memain peranan dalam mempengaruhi perkembangan dan tingkah laku seseorang kanak-kanak itu perlu difahami oleh ibu bapa.

Mereka perlulah bijak mengenal pasti ciri-ciri kekuatan yang ada pada anak mereka di samping menumpukan perhatian pada sebarang kelemahan yang ada pada seseorang kanak-kanak itu boleh diatasi atau sekurang-kurangnya diperbaiki dengan menggunakan strategi-strategi tertentu. Kekuatan atau bakat yang dikenal pasti boleh dipupuk dan dipertingkatkan lagi dengan memberi galakan serta peluang untuk si anak itu meningkatkan potensinya.

Setiap pengalaman yang memberinya kepuasan dan kejayaan akan menambahkan lagi perasaan yakin pada diri sendiri dan ini pula akan memberinya lebih kekuatan untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran baru yang bakal menguji daya inteleknya. Keupayaan intelek (intellectual capacity) seseorang itu adalah kurniaan Tuhan yang tiada siapa boleh memahami. Kebiasaannya, kita hanya boleh menilai kebolehan atau prestasi seseorang itu pada sesuatu ketika sahaja.

0 comments:

Catat Ulasan

pesanan

Penafian:Penulis blog paikankb tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan, Segala komen atau ulasan, fakta berunsur hasutan yang dialami kerana melayari atau menggunakan maklumat dalam blog ini.

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP